HARI Sukan Negara (HSN) 2023 bulan hadapan dijangka membabitkan penyertaan 4.5 juta masyarakat dari seluruh negara.
Sasaran ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu berlandaskan perancangan sambutannya melibatkan peringkat daerah dan negeri.
Ketua Setiausaha KBS Dr K.Nagulendran berkata, HSN 2023 bagi peringkat daerah dan negeri kecuali Sarawak akan bermula 13 hingga 15 Oktober depan, manakala penganjuran bagi peringkat kebangsaan dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung pada 14 Oktober di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya.

Ketua Setiausaha KBS Dr K Nagulendran (tengah) umum sambutan HSN2023 peringkat kebangsaan dijadual disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung pada 14 Oktober. -Pix KBS
“Penganjuran HSN 2023 peringkat negeri dan bahagian di Sarawak diselaraskan semula kepada 28 Oktober bagi menghormati sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud pada 14 Oktober ini,” katanya, dalam sidang media di Menara KBS.
Beliau berkata, HSN adalah agenda nasional yang disambut secara tahunan pada hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober.
“HSN berhasrat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup cergas dan aktif selaras dengan kerangka Malaysia Madani dan Visi Sukan Negara 2030.
“Antara objektif penganjuran HSN kali ini adalah memberikan kesedaran akan kepentingan gaya hidup aktif dan cergas, meningkatkan penglibatan rakyat dalam aktiviti sukan dan rekreasi serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan integrasi nasional,” katanya.

Antara rakan penaja Hari Sukan Negara 2023. -Pix KBS
Tambahnya, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh juga mahu semua penyedia makanan terbabit dalam HSN 2023 menyediakan masakan sihat kepada pengunjung serta peserta bagi usaha mempromosi aspek pemakanan sihat
“Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama memeriahkan penganjuran HSN 2023 termasuklah pelaksanaan program dan aktiviti sukan dan rekreasi di peringkat masing-masing.
“KBS turut mengalu-alukan sokongan mana-mana pihak terutamanya pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), korporat dan swasta untuk bersama menyokong dan menyertai sambutan HSN melalui kerjasama strategik,” katanya.