PERBICARAAN saman fitnah dua pegawai Persatuan Badmibton Malaysia (BAM) terhadap bekas pemain badminton No. 1 dunia, Roslin Hashim yang bermula pada Selasa, dijangka berakhir lebih awal.
Ini berikutan hari pertama perbicaraan berlangsung pada jam 9.30 pagi di Mahkamah Tinggi NCVC 12, dilapangkan bagi membolehkan persetujuan kedua-dua belah pihak.
Perbicaraan di hadapan Hakim Roz Mawar Rozain itu, ditangguhkan ke hari Rabu, untuk merekodkan persetujuan yang dicapai kedua-dua pihak.
Terdahulu, defendan, Roslin kelihatan sugul di luar mahkamah, meninggalkan wakilnya Haijan Omar & Co, berbincang bersama pihak plaintif, iaitu peguam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Jahaberdeen & Co dan Setiausaha Agungnya Datuk Kenny Goh di luar.
Kira-kira jam 12 tengahari, seorang lagi plaintif, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Datuk Ng Chin Chai tiba di mahkamah, dan difahamkan pihak defendan cuba menyelesaikan kedua-dua kes serentak.
Begitupun, wakil kedua-dua pihak enggan memberi sebarang komen dan hanya akan mengadakan sidang media esok (Rabu), sejurus selepas Hakim Roz Mawar merekodkan keterangan kedua-dua pihak.
Pada Januari 2022, Roslin dengan lantang mengkritik BAM dan memetik dua nama, Kenny dan Chin Chai dalam media sosialnya sehingga dua pegawai BAM itu memfailkan saman terhadapnya kerana menyifatkan dakwaan itu berunsur fitnah.
Susulan daripada itu, Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan saman pada 5,6,7,11 dan 12 September 2023.