PASUKAN Triple Eight Johor Motorsports Racing (JMR) yang diketuai oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Hassanal Jefri sedia untuk melakukan debut dalam aksi perlumbaan 24 Hours of Spa.
Demi mempersiapkan diri dan pasukan dalam menghadapi perlumbaan ketahanan tinggi pada bulan Jun depan, Tunku Abdul Rahman akan mengambil bahagian dalam saingan GT Open 500 yang akan diadakan di Spa Francorchamps, Belgium, pada 24 hingga 26 Mei.
Beliau yang belum pernah bertanding dalam mana-mana perlumbaan 24 jam sebelum ini, menjadikan saingan GT Open 500 sebagai peluang berharga untuk mengasah kemahiran dan menyesuaikan diri dengan corak perlumbaan berketahanan tinggi.
“Penting bagi kami untuk mendapatkan banyak masa di trek itu, terutamanya bagi saya kerana ini adalah trek yang saya belum pernah kunjungi sebelum ini. Ia adalah trek teknikal berkelajuan tinggi jadi sangat penting untuk mengambil langkah demi langkah dan belajar tentang trek sebanyak yang saya boleh supaya apabila kami tiba di sana untuk perlumbaan 24 jam, saya sudah bersedia,” kata Tunku Abdul Rahman.
Spa Francorchamps adalah litar bagi saingan Formula One Belgian Grand Prix, di mana ianya dianggap sebagai salah satu trek paling mencabar di dunia. Antaranya kerana faktor kelajuan, berbukit dan berliku.
Dalam saingan ‘pemanas enjin’ ini, Tunku Abdul Rahman akan bergandingan dengan pelumba kedua JMR, Jordan Love dari Australia. Kedua-dua pelumba ini bekerjasama dengan baik dalam Siri Le Mans Asia (ALMS), dan mereka berjaya meraih tempat kedua dalam kejuaraan tersebut.
“Berlumba di trek legenda Spa adalah seperti mimpi yang menjadi kenyataan dan saya rasa itu adalah impian semua orang untuk berlumba di situ. Tetapi saya akan fokus dan melakukan segalanya dengan betul agar saya bersedia untuk perlumbaan 24 jam,” tambahnya.
Selepas prestasi cemerlang dengan menduduki tempat ke-11 pada perlumbaan Intercontinental GT Challenge di Bathurst 12 Hour, Australia (pada bulan Februari), beliau kini optimis untuk memburu pencapaian terbaik dalam perlumbaan di Belgium.