LIVERPOOL FC kini sah mengumumkan Arne Slot telah bersetuju untuk menjadi ketua jurulatih baharu kelab bermula 1 Jun 2024 tetapi ianya tertakluk kepada permit pekerjaan.

Jurulatih berusia 45 tahun itu menyertai Reds dari kelab Belanda, Feyenoord menjelang musim 2024-25 selepas mendapat persetujuan bersama dari kelab Eredivisie itu untuk Liverpool mendapatkan khidmatnya.

Slot akan menggantikan Jurgen Klopp yang membuat keputusan untuk tidak meneruskan kontraknya selepas berakhir musim 2023-24 selepas sembilan musim mengemudi skuad Merseyside itu.

Arne Slot diumum ganti Jurgen Klopp kemudi Liverpool

Jurulatih asal Belanda itu tiba selepas tiga musim yang cemerlang bersama Feyenoord dengan membawa kelab itu muncul juara Eredivisie pada 2023 dan pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik sebanyak dua kali.

Terbaharu, Slot membantu kelab Rotterdam itu menjuarai Piala KNVB pada April selepas menewaskan NEC Nijmegen 1-0 pada aksi final dan dia diberikan penghargaan oleh para penyokong ketika perlawanan terakhirnya bersama Feyenoord.

Sebelum berhijrah ke Feyenoord, Slot memegang jawatan sebagai ketua jurulatih di AZ Alkmaar dan membantu mereka menamatkan kempen di tangga kedua hanya dipisahkan perbezaan jaringan dengan Ajax Amsterdam ketika Eredivisie dibatalkan pada musim 2019-20 ekoran Covid-19.

Selepas 9 musim, Klopp umum tidak lagi bersama Liverpool

Ketika bermain bola sepak, Slot beraksi sebagai pemain tengah bersama kelab FC Zwolle, NAC Breda, Sparta Rotterdam dan PEC Zwolle sebelum membuat keputusan menggantung but pada 2013.

Dia akan mencipta sejarah sebagai ketua jurulatih pertama dari Belanda mengetuai Liverpool dan akan memulakan tugasnya ketika kempen pramusim yang bakal bermula pada Julai 2024.