SERAMAI 394 atlet termasuk atlet para di bawah Program Podium akan menerima caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula, bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pelarasan itu bakal memberi impak kewangan berjumlah RM16 juta setahun kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Katanya, bayaran elaun bulanan atlet juga yang kini ditukar nama kepada gaji, turut dinaikkan dengan minimum gaji asas RM1,500 sebulan.

Atlet para negara turut mendapat manfaat KWSP.

“Carumannya adalah 11 peratus daripada atlet dan MSN akan menyumbang 13 peratus.

“Atlet kita mahukan jaminan untuk mereka, jadi kita telah tunaikan hasrat mereka. Namun, saya mahukan mereka tunaikan hasrat rakyat Malaysia bagi meraih pingat emas di Sukan Olimpik,” kata Hannah pada Majlis Amanat Menteri Belia dan Sukan 2024 di MSN di sini.

Ujarnya lagi, ketika ini caruman KWSP hanya dibayar kepada atlet di bawah Program Podium dan tidak membabitkan atlet pelapis.

Ketika ini atlet di bawah Program Podium menerima manfaat KWSP dan tidak membabitkan atlet pelapis.

“Ada hasrat untuk golongan pelapis tetapi buat masa ini yang kita mampu adalah untuk atlet podium dulu,” tambahnya.

Hannah berkata, pihaknya juga tidak melupakan sumbangan jurulatih yang menjadi tulang belakang prestasi atlet negara.

Beliau berkata, pihaknya sudah meminta MSN melakukan kajian semula elaun menerusi Skim Jurulatih Kebangsaan.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut meminta MSN mengkaji semula elaun jurulatih. -Hannah Yeoh

Dalam perkembangan lain, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menganjurkan temasya sukan yang terbuka kepada atlet veteran dan orang ramai pada tahun ini.

“Kalau kita mahu Malaysia menjadi negara sukan, kita kena adakan acara seperti ini untuk teruskan minat mereka dalam sukan, kalau tidak hanya golongan muda sahaja,” katanya.

Mengulas mengenai isu doping membabitkan atlet lompat tinggi wanita yang digantung dua tahun, semalam, Hannah mengingatkan atlet supaya lebih peka dengan diet pemakanan yang diamalkan mereka.