SERAMAI 56 atlet Olimpik dan Paralimpik negara menerima ‘durian runtuh’ bernilai RM10,000 setiap seorang sebagai pengiktirafan atas usaha gigih mereka di Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. 

Sumbangan ini diberikan sebagai galakan kepada para atlet untuk terus memberikan yang terbaik dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Bertrand Rhodict antara yang menerima ‘durian runtuh’ bernilai RM10,000 daripada Milo.

Antara penerima sumbangan tersebut ialah penerjun muda negara, Bertrand Rhodict, yang meluahkan rasa syukur atas penghargaan yang diterima. 

“Pengiktirafan ini memberikan saya semangat tambahan untuk terus bekerja keras dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan,” ujar Bertrand.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, En. Juan Aranols, sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menyokong pembangunan sukan di Malaysia. 

“Kami bangga dapat menyokong atlet-atlet luar biasa yang kini mewakili Malaysia di peringkat tertinggi dunia. 

“Ramai daripada mereka bermula melalui program sukan sekolah seperti MSSM-MILO, dan ini mencerminkan komitmen kami dalam menyokong bakat sejak dari peringkat akar umbi,” kata Aranols.

Beliau turut menegaskan bahawa sokongan kepada atlet bukan hanya berbentuk kewangan, tetapi juga melalui penglibatan langsung dalam pembangunan sukan di pelbagai peringkat. 

“Kami sentiasa komited untuk mencungkil bakat sukan di Malaysia dan membantu mereka mencapai potensi penuh, sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” tambahnya.

Majlis penyerahan sumbangan ini diadakan bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh  diadakan sebagai simbolik sokongan kepada para atlet yang mewakili negara, di mana mereka bukan sahaja membawa harapan negara tetapi juga inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengejar impian dalam sukan.