DASHING kembali dengan Biasiswa Bakat Dashing 2026 bagi membuka lebih banyak peluang kepada pemain bola sepak muda Malaysia untuk mengembangkan potensi mereka, dengan program pencarian bakat tahun ini diperluaskan ke Terengganu dan Melaka.

Inisiatif pembangunan bola sepak belia itu menyasarkan pemain berusia 15 hingga 16 tahun yang berpeluang menjalani latihan dalam persekitaran berprestasi tinggi selain menerima bimbingan daripada barisan jurulatih berpengalaman.

Program berkenaan sebelum ini sudah membuka laluan kepada tiga pemain muda Malaysia untuk menjalani latihan eksklusif bersama Tottenham Hotspur di United Kingdom selepas melalui proses pemilihan dan Kem Identifikasi Bakat yang dilaksanakan tahun lalu.

Bagi edisi 2026, peserta perlu mempamerkan kebolehan masing-masing menerusi video bola sepak yang dimuat naik di Instagram atau TikTok dengan menandakan akaun @biasiswabakadashing sebelum melengkapkan borang permohonan rasmi di laman web Biasiswa Bakat Dashing.

Penyertaan dibuka dari 15 Ogos hingga 12 September 2026, dengan pemain yang disenarai pendek berpeluang dipanggil ke salah satu daripada dua Kem Identifikasi Bakat yang akan berlangsung di Terengganu pada 25 September dan Melaka pada 27 September.

Setiap kem akan dikendalikan jurulatih pembangunan bola sepak global Tottenham Hotspur, Ose Aibangbee, bersama 10 jurulatih tempatan berpengalaman. Peserta akan dinilai menerusi aspek teknikal, kecerdasan permainan, mentaliti, kecergasan fizikal serta potensi keseluruhan sebagai seorang atlet.

Program itu bukan sekadar bertujuan mencari pemain berbakat, malah memberi peluang kepada peserta untuk merasai persekitaran kompetitif, menguji kemampuan diri serta mendapatkan pengalaman dan bimbingan daripada jurulatih bertaraf profesional.

Hal Ehwal Korporat dan Kawal Selia DASHING, Rozaina Mahmod dan Ketua Pegawai Eksekutif Football Talent Asia, Jonathan Ezra Abishegam.

DASHING turut menegaskan komitmennya untuk memperluaskan akses pembangunan bakat ke luar Lembah Klang supaya lebih ramai pemain muda dari pelbagai negeri mendapat peluang menyerlah. Perluasan ke Terengganu dan Melaka juga dilihat sebagai langkah untuk mendekati bakat di peringkat akar umbi dan membuka lebih banyak laluan kepada mereka.

Menurut Hal Ehwal Korporat dan Kawal Selia DASHING, Rozaina Mahmod, setiap bakat muda berhak diberikan peluang untuk menyerlah, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Football Talent Asia, Jonathan Ezra Abishegam pula melihat program berkenaan sebagai platform untuk pemain dari pelbagai negeri menunjukkan kebolehan dan menerima peluang pembangunan yang berkualiti.