Jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak percaya kemerosotan prestasi Pearly Tan-M Thinaah bukan petanda gandingan ranking teratas dunia itu hilang arah, sebaliknya hanya memerlukan masa untuk mendapatkan semula keyakinan.
Rosman berkata, keadaan Pearly yang baru pulih daripada kecederaan turut menyebabkan pemain itu terlalu ghairah untuk kembali ke tahap terbaik sehingga kadangkala melakukan kesilapan ketika berdepan mata kritikal.
“Pearly baru kembali daripada kecederaan dan sudah tentu dia mempunyai keinginan untuk beraksi pada tahap tertinggi. Kadang-kadang keinginan itu melebihi kemampuan ketika ini dan apabila berlaku pada mata-mata penting, dia terlalu mahu menang sehingga melakukan kesilapan,” katanya.
Menurutnya, barisan kejurulatihan kini memberi ruang kepada Pearly-Thinaah untuk membina semula keyakinan secara berperingkat, selain memastikan mereka kekal bebas daripada kecederaan serius.
“Dia bukan sengaja mahu melakukan kesilapan, tetapi itulah yang berlaku ketika ini dan dia juga faham perkara itu perlu diatasi. Dari segi motivasi dan hubungan gandingan, saya rasa mereka masih berada di landasan yang betul dan mereka tidak berputus asa,” katanya.
Rosman mengakui tekanan tetap wujud apabila harapan tinggi sentiasa diletakkan terhadap gandingan itu, namun beliau enggan menjadikan kemerosotan prestasi semasa sebagai alasan untuk menurunkan sasaran.
“Panik itu normal kerana harapan terhadap mereka sentiasa tinggi. Kami perlu terima perkara itu dan kami juga tidak mahu lari daripada tanggapan bahawa mereka adalah antara pasangan terbaik,” katanya.
Beliau pada masa sama mahu Pearly-Thinaah terus membawa pemikiran sebagai pasangan elit dan bekerja keras untuk kembali ke tahap berkenaan, sekali gus menegaskan tiada sebab untuk mereka berputus asa hanya kerana prestasi kebelakangan ini belum mencapai sasaran.