IMPIAN Malaysia untuk melangkah ke final Piala Asia Remaja 2026 tidak kesampaian selepas tewas 1-3 kepada India pada aksi separuh akhir di Moqi, China sebentar tadi.
India membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi pukulan sudut penalti Anmol Ekka untuk memberikan kelebihan awal kepada juara bertahan tersebut.
Malaysia kemudian cuba bangkit selepas ketinggalan satu gol namun India terus menguasai permainan sebelum Sukhvinder menggandakan kelebihan menerusi jaringan padang pada minit ke-51.
Anmol Ekka melengkapkan gol keduanya pada minit ke-54 selepas sekali lagi menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk meletakkan India selesa 3-0 di hadapan.
Young Tigers terus berjuang habis-habisan apabila Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien mencipta jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-60.
Jaringan tersebut menjadi gol terakhir perlawanan apabila Malaysia terpaksa menerima kekalahan 1-3 dan menamatkan cabaran mereka di peringkat separuh akhir.
Kekalahan kepada India itu turut mengulangi keputusan pada Piala Asia Remaja 2024 apabila Malaysia turut tumbang 1-3 kepada pasukan sama di peringkat separuh akhir.
Malaysia kemudiannya menamatkan saingan Piala Asia Remaja 2024 di tempat keempat selepas tewas 1-2 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.
Young Tigers akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat menentang pasukan yang tewas dalam satu lagi aksi separuh akhir antara Pakistan dan Korea dalam Piala Asia Remaja 2026 ini.