SAINGAN untuk menganjurkan kejohanan bola sepak paling berprestij di benua Asia kini rasmi bermula apabila sembilan buah negara mengemukakan minat kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menjadi tuan rumah Piala Asia 2031.
Menurut laporan ASEAN Football, sembilan negara tersebut adalah Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, India, Australia, Korea Selatan, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan.
Menariknya, tiga negara dari Asia Tengah, Tajikistan, Kyrgyzstan dan Uzbekistan tampil dengan hasrat untuk menganjurkan secara bersama, sesuatu yang boleh mencatat sejarah tersendiri dalam penganjuran Piala Asia.
Manakala enam lagi negara lain, termasuk gergasi bola sepak rantau ASEAN, Indonesia, menyatakan minat sebagai tuan rumah tunggal.
Jika dinilai dari pengalaman, hanya Indonesia, Kuwait, UAE dan Australia pernah bergelar tuan rumah.

Kongres ke-35 AFC yang berlangsung di Kuala Lumpur 2025
Indonesia menganjurkan bersama Malaysia, Thailand dan Vietnam pada edisi 2007, manakala Kuwait menjadi tuan rumah pada 1980. Australia dan UAE pula menjadi penganjur pada 2015 dan 2019.
Empat negara lain, India, Korea Selatan, Tajikistan dan Kyrgyzstan masih menunggu peluang pertama untuk menjadi destinasi Piala Asia.
Jika mana-mana daripada mereka berjaya dipilih, ia akan menjadi catatan sejarah baharu memandangkan Piala Asia belum pernah diadakan di Asia Selatan mahupun Asia Tengah.
Bahkan, jika Indonesia berjaya mendapatkan hak penganjuran, mereka bakal menjadi tuan rumah kali kedua, selepas hampir tiga dekad menunggu giliran untuk kembali menyinari pentas benua.

Kegembiraan buat skuad Harimau Malaya dalam saingan sengit yang membanggakan di Piala Asia 2023.
Keputusan rasmi siapa bakal menjadi tuan rumah akan diumumkan pada tahun 2026, dan buat ketika ini, saingan kelihatan terbuka luas dengan pelbagai benua kecil cuba membuktikan kemampuan mereka menganjurkan kejohanan terbesar Asia itu.
Yang pasti, semua mata kini tertumpu pada AFC dan keputusan mereka mungkin akan mengubah landskap bola sepak benua untuk dekad akan datang.