PELARI pecut wanita negara, Shereen Samson Vallabouy bakal membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo dari 13 hingga 21 September ini, apabila Olahraga Malaysia (MA) memilihnya sebagai wakil negara melalui tiket wildcard.
Pengumuman itu dibuat oleh Presiden MA, Datuk Seri Shahidan Kassim selepas mesyuarat ahli majlis badan induk itu semalam.
Pemilihan Shereen, yang pakar dalam acara 400 meter (m), dibuat berdasarkan prestasi semasanya yang meyakinkan.
“Shereen dilihat sebagai calon tepat berdasarkan prestasi semasa. Semua ahli majlis sebulat suara bersetuju beliau wajar diberi peluang kali ini,” kata Shahidan, di Majlis Sukan Negara.
Bagaimanapun, belum diputuskan sama ada Shereen akan bertanding dalam acara 400m atau 100m, dengan pemilihan akhir tertakluk kepada garis panduan yang ditetapkan oleh Olahraga Dunia (WA).
Shereen, yang sebelum ini meraih gangsa dalam acara 400m di Sukan Asia Hangzhou, mengukuhkan kredibilitinya apabila meraih kejuaraan sulung musim ini di Kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic 2025 di Florida, Amerika Syarikat. Mewakili pasukan Life Speed, beliau mencatat 53.72 saat untuk meraih emas, mengatasi Gabby Johnson (55.17s) dan Nevaeh Lorjuste (56.91s).

Olahraga Malaysia menghantar pasukan ke Kejohanan Olahraga Asia bawah (B18) di Dammam, Arab Saudi.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Olahraga, Robert Ballard, menjelaskan peluang masih terbuka kepada atlet lain untuk melayakkan diri secara merit ke kejohanan dunia, memandangkan tempoh kelayakan masih berlangsung.
Untuk layak secara merit, Shereen perlu mencatat masa 50.75s (400m), 22.57s (200m) atau 11.07s (100m).