TATKALA Brighton & Hove Albion terus memburu tempat ke pentas Eropah musim depan, cabaran menanti mereka apabila turun menentang Leicester City hujung minggu ini dan malangnya, mereka mungkin terpaksa beraksi tanpa bintang utama, Kaoru Mitoma.

Pengendali Brighton, Fabian Hurzeler, mengesahkan bahawa Mitoma masih belum pulih sepenuhnya dan statusnya kekal ragu untuk perlawanan penting tersebut.

“Kaoru masih belum pasti. Dia akan cuba berlatih hari ini, tetapi secara keseluruhan tiada perubahan besar dalam pasukan,” kata Hurzeler ketika sidang media pra-perlawanan.

Selain isu kecederaan Mitoma, Brighton juga terpaksa berdepan ketiadaan Jan Paul van Hecke yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika bertemu Crystal Palace minggu lalu.

Namun Hurzeler tetap optimis dengan beberapa opsyen yang ada untuk mengisi kekosongan tersebut, antaranya Eiran Cashin, Mats Wieffer, dan Carlos Baleba, bergantung kepada prestasi semasa latihan terakhir.

“Kita ada beberapa pilihan dan akan lihat siapa yang paling bersedia dalam sesi latihan hari ini sebelum buat keputusan.”

Brighton sebelum ini seri 2-2 ketika menentang Leicester di Stadium King Power pada Disember lalu. Namun situasi kini jauh berbeza apabila The Foxes hanya mencatat satu kemenangan dalam 10 perlawanan terakhir mereka. Brighton kini dilihat sebagai pilihan utama, lebih-lebih lagi dengan momentum positif yang dimiliki.

Hurzeler turut menyentuh perubahan positif yang ditunjukkan pasukannya sejak pertemuan terdahulu itu, terutama dari segi pengurusan permainan yang lebih matang.

“Kami banyak belajar dari perlawanan lepas. Kami sering kehilangan mata walaupun sudah mendahului. Sekarang, saya lihat pemain-pemain semakin matang dan profesional dari segi kawalan permainan.”

“Ini bukan perlawanan ulangan, ini perlawanan baharu dan peluang baharu untuk kami tunjukkan tahap sebenar kami sekarang.”

Dalam nada lebih santai, Hurzeler turut berkongsi kenangan sewaktu membesar dengan menonton pengurus Leicester kini, Ruud van Nistelrooy, yang pernah menjadi penjaring prolifik di Eropah termasuk bersama Hamburg – musuh utama kelab lamanya, St. Pauli.

“Dia memang penyerang hebat. Saya masih ingat kehebatannya sebagai pemain. Kini saya harap dia juga berjaya sebagai jurulatih – cuma bukan untuk perlawanan hujung minggu ini,” katanya berseloroh.

Brighton kini berada dalam landasan terbaik untuk merebut slot ke Liga Europa atau Liga Persidangan UEFA, dan kemenangan ke atas Leicester boleh menjadi lonjakan penting dalam misi tersebut. Namun segalanya kini bergantung kepada sejauh mana mereka mampu kekalkan fokus dengan atau tanpa Mitoma.