PENJAGA gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat yakin  pasukannya sudah bersedia untuk mengutip tiga mata penuh menjelang aksi menentang Hougang United FC dalam aksi kelima Kumpulan H, Piala AFC pada Khamis.

Namun begitu, dia berharap  semua pemain kekal fokus kerana sedar bukan mudah untuk beraksi di Stadium Jalan Besar tetapi menjangkakan aksi yang menarik bakal disajikan kedua-dua pasukan yang mahukan tiga mata penuh.

“Seperti yang jurulatih cakap, kami jangkakan satu perlawanan yang sukar dan saya harap pemain sudah bersedia untuk membawa pulang keputusan yang positif dengan mengikut arahan taktikal jurulatih serta berikan yang terbaik dalam perlawanan esok.

“Kita tahu aksi melibatkan Malaysia dan Singapura sentiasa kompetitif dan bukan mudah bermain di Stadium Jalan Besar. Harap satu permainan yang baik dapat ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan dan mahu Sabah terus mendapat keputusan positif dalam pertandingan ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan di Singapura.

Pemain yang mesra disapa Apek itu juga sedar ada beberapa pemain terutama pemain yang mewakili skuad kebangsaan dalam keadaan yang sedikit keletihan tetapi dia yakin semua pemain sudah bersedia untuk membawa pulang tiga mata ke Kota Kinabalu.

“Semua pemain bersedia walaupun ada beberapa pemain dari skuad kebangsaan yang sedikit kepenatan tetapi semuanya yakin dan kami hanya perlu fokus sepanjang perlawanan untuk memastikan dapat mencapai keputusan yang positif,” jelasnya.

Apek beraksi cemerlang dalam dua perlawanan terakhir sebelum ini dan dijangka akan dipilih oleh Datuk Ong Kim Swee untuk memastikan gawang Sabah kebal dan keputusan positif dapat dicapai sekaligus mencerahkan peluang ke peringkat seterusnya.