STADIUM Nasional Bukit Jalil bersiap sedia menjadi saksi kepada satu lagi detik bersejarah apabila Manchester United turun menentang gabungan bintang Asia Tenggara dalam Maybank Challenge Cup 2025, malam esok.
Pertembungan ini bukan sekadar aksi persahabatan biasa, sebaliknya medan pertemuan dua dunia bola sepak – antara kuasa besar Liga Perdana Inggeris dan kolektif terbaik ASEAN yang diberi nafas baharu menerusi gabungan penuh prestij.
Kapten ASEAN All Stars, Sergio Aguero menyifatkan peluang untuk mengetuai barisan bintang rantau ini menentang gergasi Liga Perdana Inggeris sebagai satu penghormatan besar dan tanggungjawab yang tidak dipandang ringan.

sidang media, pra perlawanan Maybank Challenge Cup 2025, petang Selasa di Kuala lumpur.
“Pertama sekali, selamat datang kepada Manchester United ke Malaysia. Sudah tentu saya bangga menjadi sebahagian daripada pasukan besar ini. Ia satu tanggungjawab besar buat kami. Kami akan lakukan yang terbaik, menyambut mereka dengan baik di sini dan memastikan perlawanan esok berlangsung sengit,” ujar pemain Sri Pahang itu pada sidang media pra-perlawanan.
Nada yakin turut dikongsi pemain tengah Manchester United, Mason Mount yang menjelaskan bahawa setiap kali menyarung jersi kelab, kemenangan adalah matlamat utama mereka – tidak kira dalam aksi rasmi atau perlawanan persahabatan.
“Seperti yang dikatakan jurulatih kami, setiap kali anda memakai jersi ini, anda mahu memberikan aksi terbaik. Kami mahu menang setiap perlawanan. Kami tahu ia akan jadi perlawanan kompetitif menentang barisan all-stars dan kami sangat teruja untuk beraksi,” kata Mount.

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim bersama pemain tengah united, Mason Mount dalam sidang media, pra perlawanan Maybank Challenge Cup 2025.
Walaupun United tiba ke Malaysia sejurus tamat musim liga, Mount menegaskan kehadiran mereka bukan sekadar untuk menunjukkan muka kepada peminat Asia Tenggara, tetapi untuk benar-benar menghiburkan dan menghormati sokongan luar biasa yang mereka terima.
“Memang peralihan pantas, terus menaiki pesawat selepas perlawanan liga terakhir, tetapi kami semua sangat teruja berada di sini. Kami tak selalu berpeluang ke sebelah dunia ini dan bertemu peminat kami, jadi kami mahu hargai setiap saat. Sebaik tiba, ratusan orang menanti kami di lapangan terbang untuk bergambar dan sambut kami. Kami tak sabar untuk beraksi esok,” tambahnya.