“KAMI datang bukan untuk bercuti, kami datang dengan skuad penuh dan kami akan main betul-betul.” Itu janji tegas Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menjelang aksi dinanti peminat tempatan menentang ASEAN All Star di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Bagi Amorim, kunjungan ke Malaysia bukan sekadar memenuhi kalendar pra-musim, sebaliknya peluang mempersembahkan aksi sebenar Red Devils buat jutaan penyokong yang setia menanti sejak sekian lama.

“Bagi kami, sangat luar biasa melihat sambutan di sini. Mereka (penyokong) tak pernah hilang semangat walaupun ketika kelab melalui musim sukar. Ini bukti cinta mereka tak berbelah bahagi,” katanya dalam sidang media, pra perlawanan Maybank Challenge Cup 2025, petang tadi.

Pengurus Manchester United, Ruben Amorim bersama pemain tengah united, Mason Mount dalam sidang media, pra perlawanan Maybank Challenge Cup 2025.

Dalam masa 24 jam sejak tiba di ibu negara, hampir setiap detik dikongsi di media sosial, dari Mason Mount (pemain tengah) yang tersenyum menyambut peminat di lapangan terbang, sehinggalah Bruno Fernandes yang tidak lekang melambai dari tingkap hotel. Ini bukan sekadar perlawanan, ini pertemuan hati.

“Di mana saja kami pergi, semangat penyokong tetap sama. Di Old Trafford, anda dapat rasa bahangnya. Di Kuala Lumpur, juga sama. Saya jangka malam esok, Bukit Jalil akan jadi lautan merah,” ujar Amorim yang kagum dengan sambutan diberikan.

Kemeriahan bukan hanya dirasai di jalanan atau hotel, tetapi juga dalam jualan tiket yang menyaksikan hampir semua tempat duduk penuh dalam tempoh kurang seminggu. Bagi peminat, ini bukan sekadar melihat aksi, ini peluang hidupkan kenangan yang sekian lama tertangguh.

Trofi Maybank challenge Cup 2025 yang mungkin menjadi piala untuk Manchester United Musim ini.

“Saya sentiasa jangka yang terbaik daripada penyokong kami. Mereka mahu lihat kami menang, mahu lihat kami beraksi seperti sepatutnya. Malam esok, ia akan jadi satu pesta,” katanya sambil mengukir senyuman penuh keyakinan.

Penyokong yang hadir bukan sekadar dari Lembah Klang. Ada yang terbang dari Sabah, ada yang meredah dari Bangkok, Jakarta dan Singapura, semuanya kerana satu cinta: Manchester United.

sidang media, pra perlawanan Maybank Challenge Cup 2025, petang Selasa di Kuala lumpur.

Dan seperti kata seorang penyokong yang sempat kami temui, “It’s a Man U fan, it’s not just in our tribe, but around the world, that the good days are coming. Hari baik itu, bagi kami di Malaysia, adalah esok malam.”