MURID-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Lemoi di Cameron Highlands mendapat suntikan semangat luar biasa apabila menerima sumbangan barangan bola sepak yang digunakan dalam aksi penuh bersejarah antara Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil, bulan lalu.
Sumbangan tersebut merupakan inisiatif bersama agensi perhubungan awam ShekhinahPR dan syarikat pemasaran sukan terkemuka Asia Tenggara, ProEvents, yang turut menghadiahkan 15 pasang but bola sepak baharu kepada murid sekolah berkenaan — satu usaha memperkasa komuniti Orang Asli melalui sukan, khususnya bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj yang turut menghadiahkan 15 pasang but bola sepak baharu kepada murid sekolah berkenaan.
Majlis penyerahan dilakukan dalam satu majlis makan malam ringkas tetapi penuh bermakna di ibu negara, yang turut menampilkan pasukan bola sepak sekolah itu, “The Botaks”, sebagai simbol harapan kepada generasi muda luar bandar.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj, menegaskan bahawa sumbangan ini bukan sekadar pemberian fizikal, tetapi usaha untuk menyemai keyakinan, disiplin dan semangat kesukanan dalam kalangan anak-anak Orang Asli. Katanya, sukan mampu menjadi pemangkin perubahan sosial yang positif dan membuka peluang masa depan.

“Melihat mereka teruja menerima but bola dan barangan Manchester United benar-benar menyentuh hati kami. Kami mahu mereka rasa dihargai dan tahu bahawa mereka juga sebahagian daripada komuniti bola sepak dunia,” jelas Christopher.
Beliau turut menegaskan komitmen ShekhinahPR dalam menyokong pembangunan sukan akar umbi, terutamanya di kawasan pedalaman, sambil mendedahkan bahawa SK Lemoi telah menerima sumbangan kelengkapan sukan secara konsisten sebelum ini, termasuk pada bulan Mac lalu.

Inisiatif seperti ini jelas menjadi simbol kekuatan bola sepak dalam menyatukan komuniti, merapatkan jurang dan menyalakan impian di ceruk-ceruk yang sering terpinggir. Dan untuk anak-anak The Botaks di Lemoi, barangan Red Devils itu kini jadi lebih daripada sekadar memorabilia — ia jadi inspirasi.