BEKAS penyerang sensasi Kelantan, Mohamed Ghaddar meluahkan rasa kecewa dan marah terhadap pengurusan tertinggi Kelantan The Real Warrior (TRW), termasuk Presiden kelab Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Irwan Rizal Ali Napiah, selepas mendakwa dianiaya dan tidak dihargai.

Dalam satu hantaran tegas di media sosial, Ghaddar menyifatkan pengalamannya bersama TRW kali ini sebagai antara detik paling buruk dalam kerjayanya dalam dunia bola sepak, walaupun beliau tampil dengan niat tulus untuk membantu mengangkat kembali martabat pasukan itu.

“Saya datang ke sini dengan komitmen penuh untuk membantu kelab dan presidennya. Malah saya gunakan duit sendiri untuk bawa pemain Syria (Moaiad Alkhouli), percaya dengan projek yang mereka janjikan,” tulis Ghaddar dengan nada kesal.

Namun, selepas segala usaha dan pengorbanan dibuat, bekas bintang import itu mendakwa dirinya ditinggalkan begitu sahaja — malah mesej yang dihantar kepada pihak pengurusan termasuk Presiden dan CEO, langsung tidak berbalas.

“Presiden tidak jujur dan melakukan banyak janji palsu. Sekarang, beliau dan CEO telah berhenti membalas mesej saya. Mereka gagal memuktamadkan tandatangan dan meninggalkan saya untuk menanggung akibatnya,” tegasnya.

Lebih pedih, Ghaddar melabelkan Kelantan TRW sebagai “kelab terburuk yang pernah saya tangani”, satu kenyataan yang pasti mengundang perhatian penyokong setia Red Warriors yang selama ini menaruh harapan untuk kebangkitan semula pasukan.

Untuk rekod, Ghaddar baru sahaja diumumkan sebagai mentor kepada barisan pemain Kelantan TRW oleh Tan Sri Annuar Musa dua minggu lalu. Namun situasi terkini jelas menunjukkan wujudnya konflik dalaman yang boleh menjejaskan perancangan jangka panjang kelab tersebut.

Pendedahan Ghaddar ini bukan sahaja mencemarkan imej Kelantan TRW, malah membuka persoalan besar mengenai integriti dan profesionalisme pihak pengurusan dalam menguruskan struktur serta janji kepada pemain luar.