LANGKAH mengejut Sri Pahang FC menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26 bukan sekadar keputusan drastik, tetapi menjadi isyarat jelas untuk memulakan semula perjalanan bola sepak negeri itu dari asas yang kukuh dalam pembangunan akar umbi.

Menurut laporan Bernama, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa era bola sepak moden kini menuntut belanja besar, terutamanya apabila pasukan bergantung kepada pemain import sebagai tonggak utama.

“Saya mengalu-alukan tindakan Sri Pahang… untuk bertanding di peringkat Piala Malaysia atau Liga M memang memerlukan peruntukan yang besar. Dahulu pun besar juga, tetapi sekarang lebih besar kerana memerlukan tenaga asing,” titah baginda di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Baginda yang pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai Presiden antara 2014 hingga 2017, menzahirkan harapan agar keputusan ini dijadikan peluang untuk memperkukuh struktur kelab serta memperluas pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan.

“Sudah sampai masanya untuk adakan lebih banyak akademi di setiap negeri atau daerah. Pasukan-pasukan negeri lain pun sepatutnya ada liga sendiri. Tapi saya percaya, keputusan ini memerlukan sumber kewangan yang besar,” titah baginda lagi.

Al-Sultan Abdullah turut menekankan pentingnya memperkasakan liga sekolah dan daerah sebagai platform mencungkil potensi muda, berbanding terlalu bergantung kepada tenaga luar semata-mata.

Menyentuh isu semasa skuad kebangsaan yang dilihat semakin dikuasai pemain naturalisasi, baginda memberi peringatan bahawa keutamaan harus tetap diberikan kepada bakat tempatan supaya masa depan bola sepak negara tidak terjejas.

“Kalau terlalu ramai pemain naturalisasi, bakat tempatan mungkin akan tenggelam. Kita memang mahu kejayaan segera, tetapi biarlah ada program akar umbi yang konkrit,” titah baginda.

Justeru, tempoh rehat yang akan dilalui Sri Pahang FC bukan bermakna satu pengakhiran, sebaliknya permulaan baharu — dengan harapan agar bola sepak negeri itu bangkit bukan hanya untuk kembali ke Liga M, tetapi tampil dengan asas yang lebih kuat dan berdaya saing.

FOTO:FB Istana Negara