PELUMBA remaja sensasi negara, Hakim Danish Ramli kini selangkah lagi merealisasikan impian beraksi di pentas Kejuaraan Dunia MotoGP, apabila penyertaan wild card ke Grand Prix Malaysia sedang menanti lampu hijau terakhir daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Menurut Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, perbincangan dengan pihak SIC berada pada fasa terakhir dan maklum balas yang diterima setakat ini sangat positif untuk memastikan penyertaan pelumba berusia 18 tahun itu menjadi kenyataan.

Katanya, perbincangan bersama SIC sudah dilakukan minggu lalu dan pihak pengurusan litar itu difahamkan menunjukkan komitmen untuk menaja sebahagian kos penyertaan, namun perlu mendapat kelulusan pengurusan tertinggi terlebih dahulu.

“Belum ada keputusan muktamad, tetapi saya tidak mahu hampakan peminat dan berharap Hakim akan bersaing dengan pelumba dunia di hadapan penyokong sendiri tahun ini,” katanya, ketika ditemui pada majlis bersama RCB dan bakat muda permotoran tempatan.

Jelasnya lagi, rundingan turut dijalankan dengan beberapa penaja termasuk kerajaan negeri Terengganu, RCB dan syarikat korporat lain untuk memastikan program wildcard ini mendapat dana mencukupi.

Zulfahmi yang juga bekas pelumba Moto3 menegaskan sekiranya program itu menjadi kenyataan, segala persiapan rapi akan dilakukan lebih awal termasuk ujian jentera agar Hakim mampu bersaing secara kompetitif.

Tambahnya, pasukan MT-Helmets yang kini menaungi Hakim turut akan terlibat secara langsung dalam wildcard ini dengan menyediakan jentera terbaik bagi penampilan sulung pelumba itu di Kejuaraan Dunia nanti.