LEONG Jun Hao mengharapkan tuah penampilan sulung di Kejohanan Dunia di Paris hujung bulan ini untuk membuktikan dirinya bukan sekadar pelengkap kuota.
Pemain ranking ke-25 dunia itu mengakui selesa berstatus ‘underdog’ namun tetap bertekad mencabar barisan pemain elit dunia.
“Memang teruja sebab kali pertama beraksi di kejohanan besar, sasaran saya ambil satu demi satu perlawanan dan beri yang terbaik,” katanya, ditemui di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.
Walaupun berdepan musim tidak menentu, Jun Hao pernah menumbangkan jagoan seperti Jonatan Christie (Indonesia), Kodai Naraoka dan Kenta Nishimoto (Jepun) di pentas besar.

Jun Hao sudah memiliki karektor pemisnah namun belum cukup konsisten aepanjang kempen kejohanan.
Baginya, kejohanan utama memberi peluang sama rata dan dia mahu mencipta kejutan demi kejutan sepanjang kempen di Paris nanti.
Jun Hao akan berlepas ke Denmark Sabtu ini untuk lima hari latihan intensif sebagai persediaan, termasuk sesi ‘sparring’ berkualiti bersama pasukan kebangsaan Denmark yang telah dirancang Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen.
Selain Jun Hao, cabaran negara dalam perseorangan lelaki turut digalas Lee Zii Jia, dengan kali terakhir Malaysia meraih pingat acara ini adalah menerusi Datuk Lee Chong Wei pada edisi 2015.