OLAHRAGA Malaysia (MA) mengesahkan Umar Osman akan menjadi wakil tunggal negara ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo dari 13 hingga 21 September ini.

Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, pemilihan Umar adalah tepat berdasarkan prestasi konsisten sepanjang tahun ini.

“Umar memiliki catatan terbaik peribadi 46.09 saat yang juga rekod kebangsaan, selain menunjukkan peningkatan memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Tambah Karim, Umar juga cemerlang di pentas antarabangsa dengan catatan 46.25 saat pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea, Mei lalu.

Beliau menjelaskan walaupun tiada atlet negara layak secara merit, slot wildcard diberikan kepada Umar sekali gus memastikan Malaysia tetap mempunyai wakil di Tokyo.

“Penyertaan Umar adalah penghormatan buat negara dan kami yakin ia menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia,” tegasnya.