PASUKAN Young Tigers terikat seri menentang Australia dengan keputusan 1-1 selepas mengharungi aksi sengit yang penuh dengan peluang di kedua-dua belah pihak.

Anak buah Nor Saiful Zaini beraksi dengan disiplin tinggi, terutama di benteng pertahanan yang berjaya menyerap tekanan hebat dari pasukan lawan.

Young Tigers berada dihadapan pada minit ke-12 hasil jaringan pukulan sudut penalti oleh Azimuddin Syakir Kamaruddin. Malaysia terus kekal mendahului perlawanan sepanjang 35 minit sebelum Australia menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-47 hasil pukulan sudut penalti oleh Ian Grobbellaar.

Azimuddin Syakir Kamaruddin menjaringkan gol pertama Young Tigers dalam aksi bertemu Australia

Malaysia turut beberapa kali mengancam gawang Australia namun nasib tidak menyebelahi mereka untuk mencipta jaringan kemenangan.

Pengendali Malaysia, Nor Saiful Zaini menyifatkan keputusan seri adalah satu keputusan yang baik buat pasukan Young Tigers.

“Saya berpuas hati dengan perlawanan hari ini kerana mereka bangkit daripada keputusan yang agak kurang baik semalam (tumpas kepada Pakistan 7-2).

“Ini merupakan satu keputusan yang sangat positif buat semua pemain kerana mereka menunjukkan keberanian untuk bermain dan percaya untuk bermain seperti itu menentang Australia.

“Menentang New Zealand nanti, saya akan melihat cara permainan yang mereka terapkan dan saya rasa permainan mereka hampir sama seperti Australia,” katanya selepas perlawanan tadi.

Malaysia akan bertemu New Zealand pada hari Selasa (14 Oktober) bagi aksi ketiga Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya pada jam 6.15 petang.