PEARLY Tan-M Thinaah berjaya memastikan kekecewaan tahun lalu bertukar gembira, apabila memahat nama selaku juara Terbuka Arctic di Finland, sebentar tadi.

Selepas muncul naib juara edisi tahun lalu dengan tewas kepada Liu Sheng Shu-Tang Ning (China), final kali ini milik mutlak gandingan negara yang mengecewakan pasangan nombor 6 dunia Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi 21-7, 21-9 dalam masa 32 minit.

Ironinya, Rin-Rie juga menjadi mangsa mereka di separuh akhir Terbuka Arctic tahun lalu.

Kemenangan di Jelajah Dunia Super 500 itu membolehkan mereka memenangi hadiah wang tunai RM158,543 (USD 37,525).

Minggu depan mereka akan ke Terbuka Denmark, antara persiapan terakhir jelajah Eropah sebelum Jelajah Dunia Akhir (WTF), Disember ini.