PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) kini bergelut dengan kekosongan kepimpinan yang stabil atau arah yang jelas, lantaran nakhoda baharu itu perlu mempunyai kelebihan untuk menstruktur semula organisasi dan mengembalikan kestabilan dalam masa singkat.
Menurut sumber, dengan Kongres FAM yang dijangka berlangsung awal Januari 2026, persidangan tahunan yang diadakan untuk memilih Jawatankuasa Eksekutif tertinggi badan tersebut itu bakal menjadi yang paling penting dalam dekad terakhir ini selepas terpalit dengan krisis dokumentasi tujuh pemain warisan.
Pemilihan kali ini bukan sekadar memilih presiden baharu tetapi soal mengembalikan semula keyakinan penyokong, kredibiliti institusi dan intergriti bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Krisis ini telah mendedahkan kelemahan mendasar dalam tadbir urus dan komunikasi dalaman FAM — sesuatu yang tidak lagi boleh disapu di bawah karpet.
Maka, presiden baharu perlu bukan sahaja memahami selok-belok pengurusan bola sepak, tetapi juga berani melakukan reformasi struktur, termasuk memperkukuh sistem dokumentasi, ketelusan keputusan, dan keberanian menjawab kepada rakyat.
Jika dilihat juga rata-rata dalam komuniti bola sepak mahukan pembaharuan yakni wajah dan idea baharu yang mampu menghidupkan semula semangat penyokong serta memperkukuh hala tuju pembangunan akar umbi.
Beberapa nama berpengaruh dijangka menjadi sebutan dalam tempoh terdekat, termasuk tokoh berpengalaman dalam pentadbiran bola sepak serta individu luar yang memiliki latar belakang profesional dan integriti tinggi.
Namun, siapapun yang bakal dipilih, keutamaan kini bukan pada populariti, tetapi pada kebolehan memimpin organisasi yang sedang kehilangan arah dan keyakinan.
FAM kini berada di persimpangan sama ada bangkit sebagai organisasi yang lebih kuat dan berprinsip, atau terus dibelenggu oleh skandal dan kekeliruan yang menjarakkan peminat daripada Harimau Malaya.
Tanggungjawab berat menanti presiden baharu yang bukan sekadar memimpin pasukan, tetapi memulihkan semula kepercayaan sebuah negara terhadap institusi bola sepaknya sendiri.