DUNIA bola sepak Turki dikejutkan dengan pendedahan mengejutkan apabila Persekutuan Bola Sepak Turki (TFF) mendapati ratusan pengadil di negara itu mempunyai akaun pertaruhan bola sepak — termasuk beberapa pengadil elit yang bertugas di liga utama.

Menurut laporan Reuters, hasil siasatan dalaman berdasarkan data daripada agensi kerajaan mendapati 371 daripada 571 pengadil aktif di liga profesional Turki memiliki akaun pertaruhan, dan 152 daripadanya dikenal pasti aktif berjudi.

Presiden TFF, Ibrahim Haciosmanoglu, berkata langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha ‘membersihkan rumah sendiri’ bagi memulihkan integriti pengadilan di Turki.

“Sebagai sebuah persekutuan, kami bermula dengan membersihkan halaman kami sendiri,” katanya dalam sidang media di Istanbul. “Antara mereka yang memiliki akaun pertaruhan termasuk tujuh pengadil peringkat tertinggi, 15 pembantu elit, 36 pengadil berlesen dan 94 pembantu berlesen.”

Presiden Persekutuan Bola Sepak Turki, Ibrahim Haciosmanoglu berucap semasa sidang media di Istanbul pada Isnin.

Lebih mengejutkan, siasatan turut mendapati seorang pengadil membuat pertaruhan sebanyak 18,227 kali, manakala 42 pengadil lain bertaruh lebih 1,000 kali setiap seorang dalam tempoh lima tahun terakhir.

Susulan pendedahan itu, Haciosmanoglu mengesahkan bahawa semua yang terlibat akan dirujuk ke Lembaga Tatatertib TFF untuk dikenakan tindakan sewajarnya mengikut peraturan sedia ada.

“Mereka akan dibawa ke lembaga tatatertib dan menerima hukuman yang sewajarnya berdasarkan kod disiplin kami,” jelasnya.

Di bawah Perkara 57 Kod Disiplin TFF, mana-mana pengadil yang didapati bersalah kerana terlibat dalam pertaruhan bola sepak boleh dikenakan penggantungan antara tiga bulan hingga setahun daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak.

Kes ini kini menjadi antara skandal pengadilan terbesar dalam sejarah bola sepak Turki — sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai tahap integriti dan ketelusan dalam arena pengadilan negara itu.