PERSEORANGAN wanita negara, Wong Ling Ching sekali lagi berdepan detik cemas menjelang Sukan SEA Thailand apabila demam dan selesema mengganggu persiapannya, untuk menebus maruah skuad wanita yang tercalar di Kemboja dua tahun lalu.

Pemain berusia 22 tahun itu mengakui sudah dua tiga hari tidak sihat, namun tetap turun menjalani latihan dengan pelarasan intensiti oleh jurulatih Iskandar Zulkarnain bagi memastikan keadaannya tidak bertambah buruk.

Ling Ching berkata, jangkitan yang melanda beberapa pemain di Akademi Badminton Malaysia (ABM) mungkin menjadi punca, selepas rakan sepelatih mula jatuh sakit dan virus mudah merebak dalam sesi latihan berkumpulan.

Dalqm pada itu, dia mengakui apa yang berlaku di Kemboja masih meninggalkan kesan apabila terpaksa bermain dalam keadaan pening dan tidak pulih sepenuhnya, sesuatu yang tidak mahu diulanginya ketika tampil untuk edisi keduanya di Thailand.

Wong Ling Ching mempamerkan peningkatan prestasi di bawah bimbingan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

“Last time Sukan SEA, saya pun sakit, turun court pun pening, jadi kali ini saya cuma harap boleh sihat dan main baik untuk diri sendiri,” katanya yang hanya diturunkan bagi acara individu pada Temasya Kemboja 2 tahun lalu.

Berstatus ‘underdog’, Ling Ching menegaskan fokus utamanya bukan pada sasaran separuh akhir atau podium, sebaliknya mahu mengekalkan prestasi stabil yang selama ini membantunya mencipta kejutan ke atas pemain berstatus ranking tinggi.

Dia mengakui keyakinannya meningkat hasil pengalaman musim ini, namun tetap realistik apabila menyifatkan cabaran di Bangkok sangat sengit dengan kehadiran ramai pemain Top 10 dunia termasuk Ratchanok Intanon yang dianggap paling sukar ditundukkan.

Bagi Ling Ching, apa yang lebih penting kini hanyalah kembali pulih, menjaga kondisi badan dan mengekalkan konsistensi seperti yang sering diingatkan Iskandar, kerana hanya itu yang mampu membantunya meninggalkan episod pahit Kemboja dan menulis cerita baharu di Thailand.