KEPUTUSAN penganjur Sukan SEA 2023 memansuhkan acara gimnastik wanita pada Temasya Kemboja, meletakkan skuad gimnastik negara dalam keadaan sukar untuk mengulangi pencapaian empat pingat emas di Hanoi, Vietnam, tahun lalu.
Ini berikutan kejayaan skuad negara di Hanoi bersandarkan kejayaan gimnas wanita yang mengutip empat emas, satu perak dan satu gangsa, manakala gimnas lelaki sekadar meraih satu perak dan satu gangsa.
Ketika mengharapkan gimnas lelaki untuk mencipta ajaib, cabaran tambah sukar apabila negara pencabar utama acara sukan itu, Filipina bakal membariskan juara dunia, Carlos Yulo pada temasya yang akan berlangsung pada 5 hingga 17 Mei depan.
Daripada lapan acara yang disenaraikan di Sukan SEA Vietnam tahun lalu, lima daripadanya dibolot Yulo, justeru tugas yang mencabar untuk kesemua enam gimnas negara di Phnom Penh.
Skuad negara yang dikendalikan Ng Shu Liang membariskan Muhammad Sharul Aimy, Ng Chun Chen, Lukman Al Hafiz, Teoh Chuen Feng serta dua atlet muda, Ally Hamuda dan Shakir Aiman.

Jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Liang yakin prestasi gimnas pada hari pertandingan menjadi penentu di Sukan Sea Kemboja.
“Memang sangat sukar untuk acara lelaki, tambahan Chief De Mission juga telah mengatakan juara dunia dari Filipina akan menyertai saingan kali ini, seperti kita tahu dia dah menang dua emas berturut-turut di Piala Dunia, jadi dia memang akan jadi pencabar yang kuat kerana tarafnya bukan lagi Asia Tenggara, tetapi sudah bertaraf dunia.
“Tapi bagi saya, dalam sukan apa apa pun boleh jadi, kita hanya perlu buat apa yang kami rancang, dan kita juga ada dua atlet baru yang menyertai pasukan memandangkan atlet senior sudah tidak lagi bersama pasukan, dan mereka akan dibantu dengan empat lagi atlet senior yang berpengalaman, jadi diharapkan mereka apat melakukan sesuatu,” jelas Shu Liang.
Tahun lalu di Hanoi, kesemua empat pingat emas yang diraih gimnas negara disumbangkan oleh skuad wanita menerusi Rachel Yeoh Li Wen dalam acara palang tidak sejajar dan batang titian, manakala dua lagi emas disumbangkan Koi Sie Yan dalam acara gimrama individu dan berpasukan keseluruhan.