KRISIS kelayakan tujuh pemain yang ingin mewakili Malaysia memasuki fasa baharu selepas Badan Rayuan FIFA mengekalkan hukuman penggantungan 12 bulan terhadap kesemua pemain terbabit, satu keputusan yang dianggap “terlalu keterlaluan” oleh FIFPRO.

Dalam kenyataan rasmi pada 1 Disember 2025, FIFPRO menegaskan tujuh pemain itu bukan penjenayah bola sepak, sebaliknya mangsa dalam kes yang gagal diuruskan dengan baik di peringkat institusi. Menurut badan antarabangsa itu, dokumen yang dikemukakan pemain adalah sah dan keputusan FIFA sendiri mengesahkan tiada satu pun dokumen tersebut dipalsukan oleh pemain.

Lebih membimbangkan, ujar FIFPRO, tujuh pemain berdepan nasib sama sesuatu yang jelas menunjukkan isu itu tidak berpunca daripada tindakan individu, tetapi mungkin kegagalan proses di peringkat badan yang menguruskan permohonan kelayakan. Di bawah peraturan sedia ada, pemain juga tidak memiliki akses atau kuasa untuk mendapatkan pengesahan kelayakan terus daripada FIFA, menjadikan mereka bergantung sepenuhnya kepada persatuan kebangsaan.

Sumber: Story Instagram Tengku Mahkota Johor, Tengku Ismail Sultan Ibrahim,(TMJ)

FIFPRO menjelaskan pemain telah mengikuti proses rasmi menyerahkan dokumen peribadi, hadir ke hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani prosedur sumpah, memperoleh pasport sah kerajaan dan menunggu kelulusan kelayakan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Semua proses ini dikendalikan oleh institusi luar kawalan pemain.

Namun kini, mereka digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama setahun, hukuman yang memberi kesan langsung kepada kerjaya, pendapatan dan masa depan mereka, “tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan,” tegas FIFPRO.

Badan itu menyatakan solidariti penuh kepada tujuh pemain berkenaan dan meletakkan harapan agar Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membatalkan hukuman tersebut dan memulihkan keadilan dalam kes yang dilihat semakin merosakkan reputasi bola sepak negara.