KEBANGKITAN yang cuba dibina Lee Zii Jia akhirnya terhenti di pusingan kedua Masters Indonesia apabila pemain perseorangan lelaki profesional negara itu terkandas terpaksa alur kepada lawan yang berusia 21 tahun.
Pemain ranking ke-103 dunia itu tewas kepada wakil Thailand, Panitchaphon Teeraratsakul yang menghuni ranking ke-44 dunia, 21-15, 17-21, 8-21 dalam perlawanan selama 57 minit di Istora Senayan.
Zii Jia bermula garang apabila menampilkan permainan kemas dan agresif untuk menguasai set pertama 21-15.
Aksi set kedua menyaksikan bekas pemain nombor dua dunia itu sempat mendahului 12-8 dan 17-15 sebelum dikejutkan kebangkitan lawan yang memenangi enam mata berturut-turut untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.
Pada set ketiga, Zii Jia mula hilang rentak apabila Panitchaphon mendominasi permainan sebelum menoktahkan kemenangan 21-8.
Semalam, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu menamatkan kemarau 10 bulan tanpa kemenangan dengan menewaskan pemain India, HS Prannoy, di pusingan pertama.
Selepas tersingkir di Terbuka Malaysia dan Terbuka India sebelum ini, Zii Jia dijadual meneruskan kebangkitan di Masters Thailand dalam usaha mendapatkan semula rentak permainan dan melonjakkan ranking dunia.