MELAKA mengesahkan status sebagai pasukan kejutan Piala Malaysia 2025/26 apabila melangkah bergaya ke suku akhir selepas menyingkirkan Sabah dengan kemenangan agregat 5-2 dalam aksi pusingan 16 di Stadium Likas, malam tadi.
Sabah turun dengan misi menghidupkan peluang, membariskan Khairul Fahmi Che Mat di gawang sambil Dominic Tan mengetuai benteng pertahanan, manakala Ajdin Mujagic menjadi sandaran utama di jentera serangan. Melaka pula tampil tenang dengan Haziq Aiman mengawal gawang dan Shahrel Fikri diberi tanggungjawab memimpin di barisan hadapan.
Kedua-dua pasukan bermula agresif dengan tempo tinggi, saling menguji benteng masing-masing menerusi serangan balas pantas. Shahrel Fikri hampir membuka jaringan buat Melaka menerusi rembatan deras, namun percubaannya tersasar, sementara Sabah membalas menerusi usaha Fergus Tierney dan Mujagic yang turut gagal memecah kebuntuan.
Ketika permainan tampak seimbang dan Sabah semakin rancak menekan pada penghujung separuh masa pertama, perlawanan bertukar wajah apabila Gary Steven dilayangkan kad merah, memaksa The Rhinos meneruskan perjuangan dengan 10 pemain dan memberi kelebihan besar kepada pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, Melaka pantas memanfaatkan situasi apabila penyerang import baharu, Ahmed Shamsaldin meledak gol pembukaan pada minit ke-49, jaringan yang merentap keyakinan Sabah dan menaikkan moral pasukan pelawat.
Sabah cuba bangkit meskipun kekurangan pemain, namun ketangkasan Haziq Aiman di gawang Melaka terus menjadi penghalang utama, menafikan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah yang berusaha mengejar gol penyelamat maruah.
Tekanan berterusan Melaka akhirnya mematikan terus kebangkitan Sabah apabila Che Rashid menggandakan kelebihan pada minit ke-85 sebelum Ahmed Shamsaldin melengkapkan malam cemerlangnya dengan gol kedua peribadi dua minit kemudian, sekali gus mengesahkan kemenangan mutlak pelawat.
Keputusan itu menyaksikan Melaka melangkah ke suku akhir dengan penuh keyakinan dan kini menanti pemenang pertemuan Johor Darul Ta’zim dan PDRM, sambil membawa momentum besar sebagai pasukan yang kian mencuri tumpuan dalam kempen Piala Malaysia musim ini.