PEMAIN beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin mengakui sedang mempertimbangkan untuk membuat laporan polis susulan ugutan dan ancaman keterlaluan yang diterimanya selepas kekalahan di kejohanan antarabangsa, baru-baru ini.

Yew Sin berkata, ugutan kali ini berbeza kerana buat pertama kali melibatkan niat untuk mencederakan dirinya serta pasangan, Teo Ee Yi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan.

Menurutnya, sebagai atlet profesional dia sudah biasa menerima kritikan peminat setiap kali tewas, namun mesej yang diterima kali ini disifatkan melampaui batas dan berunsur jenayah.

“Saya tidak kisah terima kritikan tentang prestasi atau kekalahan, itu perkara biasa, tetapi bila sudah melibatkan ugutan untuk mencederakan, ia sudah melampau dan berbahaya,” katanya ketika dihubungi.

Yew Sin berkata, mesej ancaman itu diterimanya menerusi media sosial dan mendorongnya berkongsi perkara berkenaan kepada umum bagi memberi kesedaran terhadap isu yang turut menimpa atlet lain.

“Sebenarnya saya tak mahu kongsi perkara seperti ini, tetapi orang perlu tahu kerana bukan saya saja, ramai atlet lain pun melalui situasi sama,” katanya.

Pemain berusia 30 tahun itu turut menasihatkan peminat agar lebih berhemah ketika melontarkan pandangan kerana komen melampau bukan saja tidak membantu, malah boleh membawa implikasi undang-undang.

Sebelum ini, Yew Sin mendedahkan menerima ugutan serius selepas tersingkir di pusingan pertama Masters Indonesia, Selasa lalu, termasuk mesej yang mengancam untuk mencederakan Ee Yi sekiranya mereka terus mencatat keputusan mengecewakan.