KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya B-19, Nafuzi Zain mengumumkan senarai 23 pemain yang bakal menggalas cabaran negara pada Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 di Indonesia, dengan dominasi pemain daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi tumpuan utama.

Daripada 23 pemain yang dipanggil, seramai 15 pemain merupakan produk JDT III dan JDT IV, sekali gus membuktikan keberkesanan sistem pembangunan akar umbi kelab gergasi tanah air itu dalam melahirkan bakat muda berkualiti.

Turut mencuri perhatian ialah pemanggilan penyerang berusia 17 tahun, Arayyan Hakeem Norizam, yang menjadi pemain termuda dalam skuad kali ini.

Selain pemain JDT, enam pemain daripada Selangor FC turut disenaraikan, manakala dua lagi slot diisi oleh pemain yang beraksi di luar struktur pembangunan kelab Liga Malaysia iaitu Luka Jordy Hodak dari kelab Croatia, NK Trnje FC dan Pravinash Ravindran dari MISC-Touchtronics FC.

Pemanggilan Luka Jordy turut menarik perhatian peminat bola sepak tempatan memandangkan beliau merupakan anak kepada bekas pengendali Kuala Lumpur City FC dan Johor Darul Ta’zim, Bojan Hodak.

Skuad negara dijadual berlepas ke Medan, Indonesia pada 30 Mei bagi menghadapi kejohanan yang berlangsung dari 2 hingga 13 Jun.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Brunei Darussalam, dengan aksi pembukaan menentang Singapura pada 2 Jun di Stadium Teladan.

Harimau Malaya B-19 kemudian akan bertemu Brunei pada 5 Jun sebelum menutup saingan kumpulan berdepan Thailand pada 8 Jun.

Kejohanan kali ini menyaksikan 11 pasukan bertanding dengan juara bertahan Indonesia mengetuai Kumpulan A bersama Vietnam, Timor-Leste dan Myanmar, manakala Kumpulan C dibarisi Australia, Kemboja dan Filipina.

Hanya juara setiap kumpulan serta satu pasukan naib juara terbaik akan layak ke peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung pada 11 Jun sebelum aksi final pada 13 Jun di Stadium Utama Sumatera Utara.

Malaysia mempunyai rekod cemerlang dalam kejohanan ini apabila pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2018 di bawah kendalian Bojan Hodak dan edisi 2022 bersama Hassan Sazali Waras.

Pada edisi 2024, skuad negara yang dibimbing Juan Torres Garrido menamatkan saingan di tempat keempat selepas tewas kepada Australia menerusi penentuan sepakan penalti dalam perebutan tempat ketiga.

Kini, Nafuzi berharap kombinasi pemain daripada akademi terbaik negara serta beberapa bakat yang beraksi di luar negara mampu membawa Harimau Malaya B-19 kembali mencabar kejuaraan di bumi Indonesia.