Kumpulan penyokong tegar negara, Ultras Malaya, mengumumkan tindakan drastik dengan melancarkan boikot terhadap semua perlawanan melibatkan Harimau Malaya berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat selepas mereka menilai pelbagai aspek berkaitan landskap bola sepak tempatan, termasuk isu tadbir urus dan hala tuju pasukan kebangsaan.

Dalam kenyataan rasmi, Ultras Malaya menggariskan tiga tuntutan utama yang perlu dipenuhi pihak berkaitan iaitu penarikan semula kerakyatan tujuh pemain, pemulangan pengurusan Harimau Malaya kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), serta pelaksanaan reformasi menyeluruh dalam bola sepak Malaysia.

Sehubungan itu, mereka mengumumkan pelaksanaan Boikot Fasa 1 yang melibatkan ketidakhadiran penyokong dalam semua perlawanan pasukan kebangsaan sebagai tanda protes terhadap situasi semasa.

Ultras Malaya turut menetapkan tempoh sehingga 31 Ogos 2026 bagi pihak berkaitan memenuhi ketiga-tiga tuntutan tersebut, dengan harapan perubahan dapat dilakukan demi memperbaiki sistem bola sepak negara.

Menurut kenyataan itu, kegagalan memenuhi tuntutan dalam tempoh ditetapkan akan menyaksikan tindakan lebih besar melalui Boikot Fasa 2, yang dijangka melibatkan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan termasuk liga domestik.

Mereka menegaskan tindakan tersebut bukan didorong oleh kebencian terhadap pasukan kebangsaan, sebaliknya demi memastikan masa depan bola sepak Malaysia lebih telus, adil dan berstruktur.

Ultras Malaya juga menolak sebarang bentuk penyalahgunaan bola sepak untuk kepentingan peribadi atau pihak tertentu, selain menegaskan komitmen mereka untuk terus memperjuangkan perubahan demi kepentingan sukan itu.

“Kami mahu bola sepak Malaysia kembali kepada rakyat,” menurut kenyataan tersebut, yang turut menyeru semua pihak agar mengambil serius tuntutan yang dikemukakan.