Morocco’s head coach Mohamed Ouahbi (L) and Portuguese assistant manager Joao Sacramento (R) take part in an MD-1 training session at New England Revolution Training Centre in Foxborough, near Boston, on July 8, 2026, on the eve of the 2026 World Cup football tournament quarter-final match between France and Morocco. (Photo by Odd ANDERSEN / AFP)
Maghribi tidak bercadang mengubah pendekatan permainan menjelang aksi suku akhir Piala Dunia menentang Perancis, sebaliknya mahu terus berpegang kepada identiti yang membawa mereka sehingga ke kelompok lapan terbaik.
Ketua jurulatihnya, Mohamed Ouahbi berkata, pasukannya tidak akan melakukan perubahan besar dari segi taktikal walaupun bakal berdepan antara pencabar utama kejohanan itu.
“Saya bukan jurulatih yang gemar membuat kejutan. Sesiapa yang mengikuti permainan kami pasti tahu kami mempunyai identiti permainan yang jelas,” katanya.
Menurut Ouahbi, keutamaan Maghribi adalah memastikan Perancis tidak dapat menguasai permainan, selain memanfaatkan penguasaan bola dengan lebih berkesan sama ada menerusi bahagian tengah atau sayap.
“Apabila kami menguasai bola, kami perlu menyukarkan mereka. Bukan hanya melalui bahagian sayap, tetapi kami juga perlu bersabar, mencari ruang dan membuat keputusan yang tepat.
“Kami sudah membuktikan mampu menyukarkan mana-mana pasukan dan itulah yang mahu kami lakukan sekali lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Maghribi menerima tamparan menjelang perlawanan apabila penyerang utama, Ismael Saibari disahkan belum pulih daripada kecederaan hamstring yang dialami ketika aksi menentang Kanada pada pusingan 16 terbaik.
“Dia belum bersedia, tetapi saya berharap ini bukan penamat kejohanannya,” kata Ouahbi mengenai keadaan pemain yang telah menjaringkan gol dalam ketiga-tiga aksi peringkat kumpulan serta menyempurnakan sepakan penalti kemenangan ketika menyingkirkan Belanda pada pusingan 32 terbaik.
Mengulas pertemuan semula dengan Perancis selepas tewas di separuh akhir Piala Dunia 2022, Ouahbi menegaskan perlawanan kali ini tidak boleh dibandingkan dengan aksi empat tahun lalu.
“Setiap perlawanan mempunyai konteks dan sejarahnya sendiri. Ini bukan lagi perlawanan yang sama seperti pada 2022.
“Kami kini memiliki pasukan yang berbeza dan Perancis juga sudah berubah. Kedua-dua negara semakin kuat kerana mempunyai sistem pembangunan bola sepak yang baik,” katanya.
Maghribi akan turun memburu tiket ke separuh akhir dengan misi membalas kekecewaan lalu, manakala Perancis pula berhasrat meneruskan kemaraan dalam usaha memburu satu lagi kejuaraan dunia.