Legenda hoki Malaysia dan bekas ketua jurulatih skuad hoki kebangsaan, Sarjit Singh meninggal dunia pada usia 63 tahun, malam tadi.
Mendiang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM pada jam 10 malam, 23 Ogos 2026.
Pemergian beliau disahkan menerusi kenyataan takziah Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang menyifatkan Sarjit sebagai antara tokoh penting dalam sejarah hoki negara, baik sebagai pemain mahupun jurulatih.
Dilahirkan pada 24 November 1962, Sarjit pernah menyarung jersi Malaysia di peringkat antarabangsa dari 1982 hingga 1993 selain memainkan peranan sebagai kapten negara pada Piala Dunia Remaja 1982 dan Sukan Olimpik 1992.
Beliau juga merupakan dua kali Olympian, selepas mewakili Malaysia pada temasya Los Angeles 1984 dan Barcelona 1992.
Selepas bergelar pemain, Sarjit meneruskan khidmatnya dalam pembangunan hoki negara termasuk membimbing skuad remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.
Beliau turut diberi tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan pada 2007 hingga 2008, sebelum kembali menggalas tugas sama pada Mac 2024 hingga Mac 2026.
Dalam tempoh terakhirnya bersama skuad kebangsaan, mendiang Sarjit membimbing pasukan negara dalam beberapa kejohanan penting termasuk kempen kelayakan Piala Dunia di Ismailia, Mesir pada Mac lalu.
Skuad kebangsaan menamatkan saingan di tempat keempat pada kejohanan kelayakan Piala Dunia berkenaan di bawah kendaliannya.
MHC dalam kenyataannya turut mengenang dedikasi, khidmat dan sumbangan Sarjit terhadap pembangunan hoki Malaysia sepanjang perjalanan kariernya.
“Dedikasi, khidmat dan sumbangan Coach Sarjit terhadap hoki Malaysia, sebagai pemain dan juga ketua jurulatih, akan sentiasa dikenang.”
Pemergian Sarjit berlaku ketika komuniti hoki negara sedang mengikuti kempen Speedy Tigers di Piala Dunia Hoki Lelaki FIH 2026 di Belgium dan Belanda.
Kami di Flash Sukan turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga serta insan terdekat mendiang, selain mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi kehilangan tersebut.