SKUAD hoki lelaki kebangsaan fokus menjalani sesi latihan sejak Isnin menjelang aksi penuh mendebarkan iaitu Kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Oman.

Ketua jurulatihnya, A. Arulselvaraj dan Pengurus Pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi jelas ingin mempersiapkan pasukan dari segi kekuatan mental serta fizikal untuk berdepan dengan pasukan-pasukan gergasi di kelayakan Olimpik.

Speedy Tigers diundi untuk berada dalam Kumpulan A bersama China, Great Britain, dan Pakistan dan perlawanan dijadualkan berlangsung di Muscat, Oman pada 15 hingga 21 Januari 2024.

Dua pasukan teratas dalam setiap tiga kumpulan bakal menuju ke saingan separuh akhir dan seterusnya menanti pasukan terbaik dari setiap kumpulan untuk memanaskan atmosfera perebutan tiga slot ke Paris.

Stadium Yves-du-Manoir difahamkan bakal menjadi saksi perlawanan hoki berprestij Olimpik Paris bermula pada 27 Julai hingga 9 Ogos 2024.

Untuk rekod, skuad lelaki negara mencatat memori pahit di Sukan Asia Hangzhou 2022 apabila terlepas peluang mendapatkan laluan automatik ke Paris dan mereka menamatkan saingan tersebut sekadar di tempat keenam.