Kredit Gambar: MSN Malaysia
Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menarik nafas lega selepas mendapat pengesahan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) masih memberikan sokongan terhadap usahanya memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Perkara itu disahkan sendiri pelumba berusia 38 tahun berkenaan menerusi satu hantaran video di media sosial baru-baru ini, sekali gus menamatkan persoalan mengenai hala tuju kariernya menjelang kempen kelayakan Olimpik.
Azizulhasni menzahirkan rasa syukur selepas mengetahui khidmatnya masih diperlukan bagi merealisasikan misi Malaysia ke temasya Olimpik 2028.
“Alhamdulillah, (jawapannya) ya. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat, terutamanya seluruh rakyat yang tampil berdiri teguh di belakang saya yang lemah ini.
“Ucapan terima kasih juga kepada pihak KBS dan MSN yang masih memerlukan khidmat saya dan memenuhi mandat rakyat,” katanya menerusi Instagram.
Beliau turut memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan dalam masa terdekat selepas menerima pengesahan sokongan daripada kedua-dua badan terbabit.
Perkembangan itu pastinya cukup bermakna buat Azizulhasni yang sebelum ini meluahkan kekecewaan berhubung tempoh menunggu keputusan mengenai khidmatnya untuk misi LA28.
Bagi pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu, pengesahan berkenaan membuka ruang untuknya terus menabur bakti kepada negara sehingga temasya Olimpik di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2028.
Dengan masa depannya kini semakin jelas, Azizulhasni juga boleh kembali memberi tumpuan kepada tugasan terdekatnya, khususnya persiapan menghadapi Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.
Sokongan KBS dan MSN itu sekali gus memberikan suntikan semangat kepada Azizulhasni untuk meneruskan perjuangan memburu kejayaan di pentas antarabangsa, selain merealisasikan impian untuk sekali lagi membawa nama Malaysia ke pentas Olimpik.