Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berpandangan usaha memperkukuh badan induk bola sepak negara perlu digerakkan secara bersama dan tidak dilihat sebagai usaha untuk ‘membersihkan’ keseluruhan organisasi.

Menurutnya, sebarang perubahan selepas pemilihan kepimpinan baharu perlu dibuat berdasarkan penilaian yang objektif, fakta serta proses yang sewajarnya, terutama apabila membabitkan struktur dan tadbir urus FAM.

Mohd Yusoff berkata beliau menghormati pandangan semua pihak termasuk calon Presiden FAM, Datuk Seri Shahril Mokhtar, namun setiap gagasan pembaharuan perlu mengambil kira kepentingan jangka panjang bola sepak Malaysia.

Beliau turut mengingatkan penggunaan istilah seperti ‘membersihkan’ boleh menimbulkan persepsi bahawa keseluruhan warga FAM terdiri daripada individu yang bermasalah, sedangkan organisasi itu mempunyai pegawai, kakitangan dan jawatankuasa dengan fungsi serta tanggungjawab masing-masing.

“Jika ada kelemahan dalam aspek tadbir urus, pengurusan atau struktur organisasi, sudah tentu ia perlu diperbaiki. Itu adalah tanggungjawab mana-mana barisan kepimpinan yang akan diberikan mandat kelak,” katanya.

Mohd Yusoff turut menegaskan FAM tidak boleh bergantung kepada seorang individu semata-mata kerana pengurusan bola sepak moden memerlukan kekuatan pasukan serta kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, Presiden, Timbalan Presiden, Ahli Jawatankuasa Eksekutif, Setiausaha Agung, jawatankuasa, pegawai dan seluruh warga kerja FAM mempunyai peranan masing-masing, selain hubungan rapat dengan ahli gabungan serta pemegang taruh perlu terus diperkukuhkan.

“FAM bukan ‘one-man show’. Presiden mempunyai peranan kepimpinan yang besar, tetapi kejayaan sesebuah organisasi bergantung kepada kekuatan pasukan di sekelilingnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff berkata agenda pembaharuan bukan sesuatu yang baharu dalam FAM kerana badan induk itu sebelum ini sudah melalui beberapa proses penilaian serta penambahbaikan membabitkan tadbir urus, statut, kod pemilihan dan pengurusan organisasi.

Justeru, beliau melihat perubahan selepas pemilihan kelak perlu diteruskan sebagai satu kesinambungan dengan kepimpinan baharu menambah baik perkara yang masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, tanpa mengetepikan usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini.