Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan mengesahkan beliau akan melepaskan jawatan sebagai Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab baharunya bersama badan induk bola sepak negara.

Ab Ghani bagaimanapun tidak akan membuat keputusan itu serta-merta kerana mahu memastikan urusan peralihan kepimpinan MFL berjalan dengan teratur sebelum beliau meninggalkan jawatan berkenaan.

Menurutnya, fokus kepada FAM amat diperlukan ketika badan induk itu kini berdepan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam tempoh mendatang.

“Saya akan meletakkan jawatan tetapi bukan dalam masa terdekat. Insya-Allah, tidak lama lagi saya akan umumkan peletakan jawatan sebagai Presiden MFL,” katanya pada sidang media selepas Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 hari ini.

Beliau berkata, antara keutamaan sebelum meninggalkan MFL adalah memastikan individu yang bakal menggantikannya dapat meneruskan pengurusan liga domestik tanpa menjejaskan kelancaran operasi.

“Buat masa ini, saya dan rakan-rakan Ahli Lembaga Pengarah MFL akan memastikan siapa yang akan mengambil alih posisi saya sebagai Presiden MFL,” katanya.

Ab Ghani menegaskan beliau tidak mahu tanggungjawab di kedua-dua badan berkenaan menyebabkan fokusnya terbahagi, terutama selepas diberikan amanah untuk menerajui FAM bagi baki penggal 2025-2029.

“Saya tidak boleh fokus kepada dua jawatan dan kita tahu masalah ada di FAM, itu yang kita kena fokuskan,” katanya.

Beliau sebelum ini dilantik sebagai Presiden MFL pada 2021 dan mempunyai pengalaman dalam pengurusan bola sepak domestik sebelum kembali mengambil peranan lebih besar di peringkat FAM.

Dalam Kongres Luar Biasa Kedua FAM 2026 hari ini, Ab Ghani memperoleh 20 undi berbanding lima yang diterima pencabarnya, Datuk Seri Shahril Mokhtar, sekali gus dipilih sebagai Presiden FAM bagi baki penggal 2025-2029.

Kemenangan itu turut menyaksikan Ab Ghani menjadi bekas pemain pertama yang dipilih sebagai Presiden FAM serta individu kesembilan yang menduduki jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara. Kini, tumpuan beliau beralih kepada usaha mengemudi FAM bersama barisan Exco baharu untuk melaksanakan agenda serta pembaharuan sepanjang baki penggal berkenaan.