Seramai 23 pemain dipilih ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk membawa cabaran Malaysia ke Piala ASEAN FIFA 2026 di Jakarta dan Bandung, Indonesia.

Senarai kali ini menyaksikan perubahan besar apabila hanya lima pemain daripada 25 pemain yang dibawa ke Piala Hyundai ASEAN 2026 pada Julai dan Ogos lalu dikekalkan.

Lima pemain berkenaan ialah Azri Ghani, Ubaidullah Shamsul Fazili, Sergio Aguero, Pavithran Gunalan dan Faris Danish Asrul.

Pada masa sama, Cheng Hoe kembali memanggil beberapa tonggak utama skuad kebangsaan termasuk Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Dion Cools, La’Vere Corbin-Ong, Syahmi Safari dan Stuart Wilkin.

Turut berada dalam senarai ialah Manuel Hidalgo, Bergson da Silva, Brad Tapp dan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.

Cheng Hoe turut memberikan kepercayaan kepada Quentin Cheng, Nooa Laine, Faisal Halim, Romel Morales, Haziq Nadzli, Nazmi Faiz Mansor, Daniel Ting serta Fergus Tierney untuk kejohanan kali ini.

Persiapan skuad negara akan bermula menerusi kem latihan yang dijadualkan bermula Isnin, 21 September sebelum rombongan Harimau Malaya berlepas ke Jakarta sehari kemudian bagi menghadapi saingan Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026.

Malaysia yang kini berada di ranking ke-136 dunia akan membuka kempen Kumpulan A menentang Bangladesh, pasukan yang menghuni ranking ke-181 dunia, di Gelora Bung Karno pada 25 September dan dijadualkan bermula jam 4 petang waktu Indonesia.

Pada 28 September, Harimau Malaya akan kembali beraksi di venue sama untuk menentang tuan rumah Indonesia yang berada di ranking ke-118 dunia, dengan perlawanan dijadualkan bermula jam 7.30 malam waktu tempatan.

Malaysia kemudian menutup saingan peringkat kumpulan dengan aksi menentang Singapura yang berada di ranking ke-148 dunia di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Oktober, pada jam 7.30 malam waktu tempatan.

Kumpulan A turut menampilkan Indonesia, Singapura dan Bangladesh, manakala Kumpulan B dihuni Vietnam, Thailand, Filipina serta Pakistan. Juara setiap kumpulan akan bertemu di final di Gelora Bung Karno pada 5 Oktober, sementara naib juara kumpulan masing-masing akan berentap dalam penentuan tempat ketiga pada hari dan venue yang sama.