Johor Darul Ta’zim (JDT) terus memperluas pendekatan mendekati penyokong apabila memperkenalkan JDT+, sebuah platform keahlian berbayar yang menawarkan kandungan premium eksklusif mengenai kelab berkenaan.

Platform itu akan dilancarkan secara rasmi pada 22 Oktober 2026 menerusi laman JDTPLUS.COM, dengan dokumentari original bertajuk UNTAMED menjadi antara kandungan utama yang diperkenalkan kepada ahli.

UNTAMED merupakan dokumentari berdurasi 76 minit yang mengangkat kisah kebangkitan JDT sehingga muncul sebagai antara kuasa bola sepak utama di Asia Tenggara.

Dokumentari berkenaan turut membawa penonton melihat sisi belakang tabir kelab, termasuk kisah individu yang terlibat, cabaran, pengorbanan, persediaan serta mentaliti yang menjadi sebahagian daripada perjalanan JDT.

Peranan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, turut menjadi antara fokus utama UNTAMED menerusi visi dan kepimpinan baginda dalam membentuk identiti serta aspirasi kelab. 

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Luis Garcia berkata, JDT+ memberi peluang kepada penyokong untuk mengenali kelab dengan lebih dekat, bukan hanya melalui aksi di atas padang tetapi turut merangkumi kehidupan pemain dan kerja di sebalik tabir.

Menurutnya, platform itu merupakan sebahagian daripada usaha JDT untuk terus berkembang sebagai organisasi sukan moden selain memperkukuh hubungan antara kelab dan penyokong. 

Selepas UNTAMED, JDT+ turut dijadual menampilkan OUTBOUND, iaitu siri dokumentari tahunan yang akan mengikuti perjalanan JDT dalam saingan AFC Champions League Elite. 

JDT memaklumkan harga serta pilihan pelan keahlian JDT+ akan diumumkan ketika pelancaran pada 22 Oktober ini. Platform tersebut akan menampilkan kandungan original yang diterbitkan mengikut musim. 

Selain pencapaian dalam bola sepak, JDT kini berkembang sebagai organisasi pelbagai sukan dengan penglibatan dalam sukan motor, bola jaring, tinju, esukan dan hoki ais, selain terus memberi tumpuan kepada pembangunan belia, infrastruktur serta inovasi.