PERTEMBUNGAN suku akhir pertama Unifi Piala Malaysia 2024-2025 telah berakhir yang menyaksikan skuad gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC memiliki sedikit bekalan dalam perebutan slot ke separuh akhir.
Meskipun JDT hanya berjaya menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 2-1 dalam aksi suku akhir pertama Jumaat lalu namun juara bertahan itu memiliki kelebihan apabila turun beraksi di kubu kuat mereka Stadium Sultan Ibrahim pada perlawanan kedua nanti.
Ketua jurulatih JDT, Hector Bidoglio ketika mengulas aksi pertama itu tidak menafikan kualiti barisan pemain KL City FC yang turut bertungkus lumus mendapatkan keputusan baik.

Bidoglio tidak menafikan kualiti barisan pemain KL City FC yang turut bertungkus lumus mendapatkan keputusan baik. foto:Johor DT
“Kita akui perlawanan suku akhir pertama ini tidak mudah kerana bertemu pasukan yang agak sukar ditentang. Jadi, kita perlu meningkatkan nilai intensiti dalam perlawanan seterusnya serta menambah baik prestasi pasukan,” ujar Hector Bidoglio.
Dalam masa yang sama, skuad Sang Penyu kendalian Badrul Afzan juga antara pasukan yang mencuri tumpuan kerana berjaya mendahului Negeri Sembilan FC pada aksi suku akhir pertama Sabtu lepas.
Agregat semasa 2-0 yang diraih bagaimanapun tidak memberi keselesaan awal buat Badrul kerana beliau masih memandang berat akan 90 minit perlawanan seterusnya iaitu perlawanan suku akhir kedua nanti.

Agregat semasa TFC 2-0 NSE. foto: TFC
Tambahan pula, mungkin tercetus sedikit kerisauan apabila dua tonggak Terengganu FC iaitu Safwan Mazlan dan Alif Zakaria yang mengalami kecederaan ringan tempoh hari, dan diharap agar mereka akan kembali pulih sebelum bermula aksi seterusnya.
“Kita akan gunakan tempoh seminggu ini sebaiknya terutama untuk memastikan mereka berdua pulih dari kecederaan. Saya harap agar semua akan kembali bersedia bersama pasukan untuk menghadapi perlawanan suku akhir kedua,” tambah Badrul.
JDT yang menjadi tuan rumah untuk aksi suku akhir kedua nanti akan menerima kunjungan KL City FC pada 21 Disember, seterusnya pasukan Terengganu FC akan bertemu Negeri Sembilan FC semula di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada tarikh yang sama.