Kredit Gambar: MSN Malaysia
Ng Eain Yow melakar satu lagi sejarah buat sukan negara apabila berjaya mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki acara skuasy Sukan Asia, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama yang mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Pemain nombor 18 dunia itu menewaskan wakil India, Abhay Singh, yang menghuni ranking ke-26 dunia, 11-9, 11-5, 11-5 dalam aksi final di Nagoya Kinjo Futo Arena, hari ini.
Kejayaan tersebut turut menghadiahkan pingat emas kelima buat kontinjen Malaysia dalam temasya Aichi-Nagoya 2026.
Lebih istimewa, Eain Yow kini menyamai pencapaian legenda skuasy negara, Ong Beng Hee, sebagai pemain kedua yang berjaya mempertahankan gelaran perseorangan lelaki Sukan Asia.
Beng Hee sebelum ini mencipta rekod berkenaan selepas meraih emas berturut-turut pada edisi 2002 dan 2006.
Eain Yow pula memenangi emas pertamanya pada Sukan Asia Hangzhou 2022 sebelum kembali ke Aichi-Nagoya dengan misi mempertahankan kejuaraan tersebut.
Kemenangan di pentas Sukan Asia kali ini turut membawa ganjaran lebih besar apabila acara perseorangan menjadi laluan kelayakan terawal bagi sukan skuasy ke Olimpik Los Angeles 2028.
Juara perseorangan lelaki dan wanita Sukan Asia secara automatik memperoleh tempat ke temasya Olimpik 2028, sekali gus menjadikan kejayaan Eain Yow lebih bermakna dalam perjalanan kariernya.
Dengan kejayaan tersebut, Eain Yow bukan sahaja mengekalkan statusnya sebagai juara Sukan Asia, malah mencipta sejarah sebagai atlet Malaysia pertama yang menempah tempat ke Olimpik Los Angeles 2028.