PENCAPAIAN Mohd Fadhil Zonis muncul juara di Kejohanan Grand Prix (GP) Trek Asia Tenggara Kejohanan Siri 2 Piala Presiden 2025, memberi sinar baharu kepada arena keirin negara, sekali gus meyakinkan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bahawa Malaysia bakal memiliki dua pelumba keirin berkelas dunia.

Menurut Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dengan pencapaian Fadhil, yang berjaya menamatkan kemarau empat tahun tanpa sebarang kejuaraan dalam acara keirin.

“Sebelum ini, Malaysia ada Josiah (Ng) dan Datuk Azizulhasni (Awang), yang mencipta sejarah di Sukan Olimpik Athens 2004, Rio 2016, dan Tokyo 2020. Selepas itu, Azizulhasni bergandingan hebat dengan Shah Firdaus (Sahrom), yang turut melakar kejayaan termasuk mara ke pusingan keirin di Sukan Olimpik Paris 2024,” kata Amarjit.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill (kiri) gembira dengan perkembangan terkini skuad trek negara.

Ketika ini, Azizulhasni ‘bersara’, justeru Amarjit percaya Fadhil mampu menjadi pelengkap kepada Shah Firdaus sebagai pasangan pelumba keirin baharu yang bakal mengharumkan nama negara.

Amarjit turut memuji usaha Fadhil yang bangkit selepas tewas kepada pelumba Korea Selatan, Kang Seojun, pada Siri 1 kejohanan sama.

Dia membuktikan keunggulannya dengan merangkul gelaran juara pada Siri 2.

Bagi kategori wanita, Amarjit memuji ketangkasan Nurul Izzah Izati Mohd Asri yang muncul juara acara keirin elit pada Siri 1 dan berjaya meraih pingat perak pada Siri 2 selepas disaingi oleh pelumba Korea Selatan, Kim Haeun.

Nurul Izzah Izzati perlu meningkatkan prestasi andai tidak mahu dipintas Nurul Alyssa.

“Prestasi Nurul Izzah amat membanggakan, dan kita dapat melihat kebangkitan pelumba wanita negara seperti Nur Alyssa Mohd Farid, yang mampu menyaingi nama-nama besar,” katanya.

Dengan kejayaan yang diraih di kejohanan ini, Amarjit berharap momentum positif ini akan diteruskan pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2025, yang dijadual berlangsung di Velodrom Nasional, Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan, dari 21 hingga 27 Februari depan.

“Kejohanan ini menjadi medan penting untuk pelumba negara memburu mata UCI dan membuktikan Malaysia terus cemerlang di pentas antarabangsa,” tambahnya.