Perak Bison tampil dengan misi baharu apabila menyasarkan kedudukan tiga terbaik dalam saingan Liga Premier Liga Sepak Takraw (STL) musim 2026 yang dijadualkan bermula pada 21 Oktober ini.

Juara bertahan itu bagaimanapun berdepan cabaran besar selepas melakukan perubahan dalam struktur pengurusan dan kejurulatihan, selain kehilangan dua tonggak utama, tekong Meor Mohamad Zulfikar Mat Amin dan apit kiri Aidil Aiman Azwawi yang berhijrah ke Terengganu Turtles.

Ketua jurulatih Perak Bison, Mohd Tajuddin Ahmad mengakui tekanan untuk mempertahankan reputasi pasukan tetap dirasai, terutama selepas kehilangan pemain berpengalaman seperti Aidil Aiman. Namun, beliau percaya sasaran podium masih mampu direalisasikan dengan komitmen seluruh pasukan.

Menurutnya, perubahan yang berlaku tidak seharusnya menjadi penghalang untuk Perak Bison kembali memberikan saingan sengit, malah kehadiran beberapa pemain berpengalaman mampu membantu pasukan membentuk kombinasi baharu.

Antara muka baharu yang menjadi perhatian ialah apit kiri kebangsaan Amirul Zazwan Amir, yang pernah beraksi bersama Kuala Lumpur Thunder. Pengalamannya di pentas kebangsaan dan antarabangsa dilihat mampu membantu mengisi kekosongan ditinggalkan Aidil Aiman.

Mohd Tajuddin turut melihat beberapa pasukan lain sebagai pencabar utama, termasuk Negeri Sembilan Antlers yang mempunyai barisan berpengalaman serta mengekalkan sebahagian besar pemain sedia ada.

Bagi memperkukuh skuad, Perak Bison turut membawa masuk dua pemain import dari Thailand, Khatthadet Srichan dan Chanchai Sarika untuk mengisi posisi tekong, manakala Najmi Shafiq Anuar turut disenaraikan sebagai tekong tempatan.

Amirul Zazwan dan Syafiq Mustakim Md Saad pula mengisi posisi apit kiri, manakala bahagian apit kanan dibarisi Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Madzrul Aziq Mat Tahir serta Muhammad Nazrein Daniel Mohd Kamal.

Perak Bison dijangka berdepan persaingan sengit sepanjang musim, namun dengan gabungan pemain berpengalaman dan tenaga baharu, pasukan itu berharap mampu mengekalkan daya saing serta merealisasikan sasaran kelompok tiga terbaik STL 2026.