PASUKAN ragbi negara mempamerkan aksi berani walaupun tewas dalam dua perlawanan awal peringkat Kumpulan B acara ragbi tujuh di Temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

Skuad Bunga Raya Sevens tewas 46-0 kepada gergasi ragbi dunia, Afrika Selatan pada aksi pembukaan namun menampilkan aksi lebih baik pada perlawanan kedua meskipun tewas 50-12 kepada Scotland.

Dengan dua kekalahan itu, skuad negara gagal mara ke suku akhir dan kini akan bermain perlawanan terakhir kumpulan menentang Tonga petang ini bagi menentukan siapakah yang menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan B.

Selepas perlawanan dengan Tonga, Malaysia akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kedudukan akhir pasukan dalam acara ragbi pada temasya negara-negara bekas jajahan British ini.

Tonga juga tewas dalam dua perlawanan mereka dan pertemuan petang ini pastinya menarik kerana kedua-dua pasukan mahu mencipta kemenangan sulung sekaligus akan bersaing dalam klasifikasi yang lebih tinggi.