Kedah Eagles mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Putrajaya Cyborg 2-1 dalam aksi Kumpulan D  STL Division 1 2026, hari ini.

Putrajaya Cyborg yang dibarisi Mohamad Muslim di posisi apit kanan, Faris Syahmi sebagai tekong dan Shohibul Fadillah di apit kiri terlebih dahulu mengambil kesempatan apabila memenangi set pembukaan 15-13.

Kedah Eagles yang menampilkan Mohamad Amar sebagai tekong, Zulhusni Basri di apit kiri dan Hapeesorn Hnahno di apit kanan bagaimanapun segera memperkemaskan permainan.

Kebangkitan itu membolehkan Kedah menguasai set kedua dengan kemenangan 15-9, sekali gus menyamakan kedudukan 1-1 dan memaksa aksi diteruskan ke set penentuan.

Momentum terus memihak kepada Kedah apabila mereka tampil lebih dominan dalam set ketiga sebelum melakar kemenangan 15-7 untuk melengkapkan kebangkitan 2-1.

Keputusan itu menyaksikan Kedah Eagles mengutip kemenangan penting dalam aksi pertama mereka bagi Kumpulan D, sekali gus membuka kempen STL Division 1 dengan langkah positif.

Sarawak Hunter turut memenangi aksi pertama mereka.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A hari ini, Sarawak Hunter turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Penjara Enforcers.

Sarawak yang menurunkan Wan Khairul Asraf sebagai tekong, Alfie Zulfitrie di apit kanan dan Selimin Jebat di apit kiri mengawal kedua-dua set untuk menang 17-14 dan 15-9.

Penjara Enforcers pula mempertaruhkan Iman Hakimi sebagai tekong bersama Mohamad Helmi di apit kanan dan Faiz Naim di apit kiri, namun gagal menghalang Sarawak daripada mengesahkan kemenangan straight set.