MALAYSIA bakal menyaksikan satu acara bersejarah yang menghimpunkan wira-wira sukan tanah air menerusi program ‘Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports’, yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada 5 November 2025.

Acara berteraskan gaya hidup sihat itu akan dipimpin oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, sebagai inisiatif diraja untuk menyemai semangat perpaduan dan kesejahteraan komuniti.

Dianjurkan oleh ShekhinahPR dengan kerjasama Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA), program simbolik ini dijangka disertai kira-kira 150 tetamu jemputan terdiri daripada legenda dan bekas atlet kebangsaan yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

Antara legenda sukan yang dijangka hadir termasuk bekas ratu terjun negara Datuk Leong Mun Yee, bekas kapten hoki kebangsaan Nor Saiful Zaini Nasiruddin, bekas pelari pecut Shanti Govindasamy, bekas kapten ragbi negara Jagjit Singh, serta dua legenda bola sepak tanah air Datuk Santokh Singh dan Datuk Soh Chin Ann. Turut hadir ialah legenda badminton Datuk Rashid Sidek, pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki di Olimpik Atlanta 1996.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Dato’ Christopher Raj, berkata penganjuran program itu bertujuan mengiktiraf jasa dan sumbangan para atlet yang telah membentuk sejarah sukan negara, di samping memupuk gaya hidup sihat serta mengukuhkan hubungan antara institusi diraja dan komuniti sukan.

“‘Walk With Al-Sultan Abdullah: The King of Sports’ bukan sekadar acara berjalan kaki, tetapi platform untuk meraikan perpaduan, kesihatan dan warisan dalam suasana kebersamaan yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan media.

Stadium Merdeka dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana nilai sejarahnya yang mendalam sebagai tapak pengisytiharan kemerdekaan negara pada tahun 1957. Acara ini turut disokong oleh Bata, FWHS Medik, Merdeka 118, DCS Entertainment, Etika dan Prince Court Medical Centre, yang bersama menjayakan usaha memperkukuh semangat perpaduan serta kesejahteraan rakyat melalui sukan dan aktiviti komuniti.