Kredit Gambar: MSN Malaysia
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) menyambut baik sokongan berterusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) dalam usaha memperkukuh pembangunan skuasy negara menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028).
Presiden SRAM, Gerard Monteiro, merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, atas perhatian, sokongan dan komitmen berterusan terhadap pembangunan sukan skuasy negara.
Menurutnya, sokongan serta keprihatinan kementerian terhadap atlet dan persiapan pasukan memberikan keyakinan kepada SRAM untuk terus membangunkan skuasy berprestasi tinggi selain membantu atlet negara bersaing di pentas antarabangsa.
SRAM turut menghargai sokongan KBS, MSN dan ISN dalam persiapan menghadapi Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, yang disifatkan sebagai bukti bahawa pembangunan atlet memerlukan kerjasama erat antara persatuan dan agensi sukan negara.
Lebih penting, sokongan menerusi Program Road to Gold (RTG) turut memberi ruang kepada SRAM untuk merancang persediaan atlet secara lebih tersusun bagi menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Dengan dua atlet skuasy negara kini berada dalam laluan ke LA 2028, SRAM melihat sokongan bersepadu KBS, MSN dan ISN sebagai komitmen penting bagi memastikan atlet menerima persediaan, sokongan prestasi serta keperluan terbaik dalam menghadapi cabaran di pentas Olimpik.
“Kami percaya kejayaan tidak boleh dibina oleh satu pihak sahaja. SRAM, KBS, MSN, ISN, jurulatih dan atlet perlu bergerak sebagai satu pasukan.
“Kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan yang diberikan. Tanggungjawab kami sekarang adalah memastikan segala sokongan ini diterjemahkan kepada prestasi terbaik atlet dan kesinambungan kecemerlangan skuasy Malaysia,” kata Gerard.
Beliau menegaskan Aichi-Nagoya 2026 menjadi antara langkah penting dalam perjalanan skuasy negara, manakala LA 2028 menjadi sasaran seterusnya.
“Aichi-Nagoya adalah satu langkah. LA 2028 adalah sasaran seterusnya. Kita terus bergerak bersama demi Malaysia.”