PAHANG Mammoth mengesahkan kedudukan sebagai juara Kumpulan A selepas menewaskan Sarawak Hunter 2-0 dalam aksi terakhir peringkat kumpulan sekali gus memastikan kedua-dua pasukan melangkah ke suku akhir.
Perlawanan berlangsung sengit apabila Sarawak Hunter memberikan tentangan sebelum Pahang Mammoth berjaya mengatasi cabaran dengan kemenangan 17-15 pada set pertama.
Pahang Mammoth kemudian meneruskan momentum pada set kedua untuk mencatat kemenangan 15-13, sekali gus melengkapkan kejayaan mereka sebagai pendahulu kumpulan.
Walaupun tewas, Sarawak Hunter tetap berpeluang meneruskan perjuangan apabila mengesahkan kelayakan ke suku akhir sebagai naib juara Kumpulan A.
Dalam aksi Kumpulan C pula, Terengganu Turtles mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan Bomba Fighters 2-0 untuk mengesahkan kedudukan sebagai juara kumpulan.
Terengganu Turtles bermula dengan baik apabila memenangi set pertama 15-12 sebelum meningkatkan penguasaan permainan untuk menutup set kedua dengan kemenangan 15-8.
Keputusan itu menyaksikan Terengganu Turtles menamatkan saingan Kumpulan C di kedudukan teratas manakala Bomba Fighters turut layak ke suku akhir sebagai naib juara kumpulan.
Dengan berakhirnya perlawanan malam tadi, tumpuan kini terarah ke pusingan suku akhir yang berbaki 8 pasukan.